Wednesday, 7 October 2020

LATIHAN KARANGAN: DIMENSI KELUARGA

 

Dalam menghadapi dunia yang semakin mencabar ini pelajaran sangat  penting dalam kehidupan seseorang. 

 

Huraikan peranan ibu bapa untuk membantu anak-anak mencapai kejayaan yang cemerlang dalam pelajaran.

Proklamasi keluarga bahagia tunjang kemakmuran negara jelas memanifestasikan bahawa institusi keluarga terutamanya ibu bapa memainkan peranan yang afdal dalam membentuk hala tuju anak-anak pada masa hadapan. Kejayaan anak-anak dalam bidang akademik bukanlah sekadar ilusi atau fatamorgana semata-mata tetapi memerlukan komitmen yang jitu daripada ibu bapa.. Pernyataan ini terbukti apabila terdapat ramai pelajar sekolah rendah, sekolah menengah mahupun mahasiswa yang telah meraih pencapaian cemerlang dalam pelajaran mereka. Kontradiksinya, di sebalik kejayaan tersebut terselit resepi yang tidak diketahui orang serta seribu satu onak dan ranjau yang telah diharungi. Dalam hal ini, dua orang insan iaitu ibu dan bapa yang telah memberikan semangat dan asuhan sejak hari pertama kita menjejakkan kaki ke dunia ini amat berjasa terhadap kehidupan kita. Mereka menjaga kita dengan penuh kasih sayang bagai menatang minyak yang penuh. Mereka berhempas pulas membanting tulang mencari rezeki setiap hari supaya mampu menampung kehidupan anak-anak. Pendidikan oleh kedua-dua ibu bapa dapat membantu anak-anak menentukan masa depan mereka. Hal ini demikian kerana anak-anak diibaratkan sebagai kain putih dan ibu bapalah yang mencorakkannya sama ada seindah warna pelangi atau semalap pelita yang kehabisan minyak. Ibu bapa menggalas tanggungjawab yang besar dengan memberi tunjuk ajar dalam pelajaran dan berdoa untuk anak-anak supaya mencipta kejayaan. Mereka menjadi tonggak kepada anak-anak melalui sokongan moral dan menyediakan keperluan asas anak mereka. Persoalannya, apakah peranan ibu bapa untuk membantu anak-anak mencapai kejayaan yang cemerlang dalam pelajaran? 

 

            Umum mengetahui bahawa peranan perdana yang dimainkan oleh kedua-dua ibu bapa adalah dengan mengutamakan iklim rumah tangga yang dibina dalam situasi yang aman dan damai. Ibu bapa hendaklah menyediakan tempat belajar yang kondusif untuk anak-anak dengan semua buku rujukan supaya anak-anak dapat memfokuskan diri dalam pelajaran dengan sepenuhnya. Anak kunci keamanan dan kebahagiaan rumah tangga ialah sikap saling memahami, berkasih sayang dan tambatan cinta yang luhur dan abadi. Ibu bapa berperanan dalam mengekalkan keharmonian dan keceriaan rumah tangga supaya menjamin anak-anak dapat membesar dengan gembira, selamat dan sihat. Ibu bapa hendaklah membebaskan anak-anak daripada sebarang masalah dengan memberi dorongan, tunjuk ajar, nasihat dan didikan kerohanian sejak awal usia persis kata peribahasa melentur buluh biarlah dari rebungnya. Ibu bapa harus mengelakkan diri daripada bergaduh atau bertengkar di hadapan anak-anak kerana akan memberikan tekanan dan menakutkan mereka. Sekiranya perkara ini berlarutan, maka anak-anak tidak akan mampu memberi perhatian terhadap pelajaran dan menyebabkan masalah psikologi. Perpecahan keluarga juga mengganggu kesejahteraan rumah tangga. Dalam pada itu, ibu bapa memainkan peranan yang signifikan dalam menjamin kedamaian dan keharmonian antara ahli keluarga agar mentaati konsep rumahku syurgaku untuk kepentingan semua anggota terutamanya anak-anak. Secara ringkasnya, dapatlah dikatakan bahawa ibu bapa memikul pundak yang dominan dengan sentiasa bertolak ansur antara satu sama lain demi menjamin kerukunan iklim rumah tangga. 

 

            Sesungguhnya, kita sedia maklum bahawa ibu bapa wajar mengambil inisiatif secara beristiqamah dalam mengawasi perkembangan dan pergaulan anak-anak dengan rakan sebaya. Rakan sebaya anak-anak berperanan besar dalam mempengaruhi mereka dalam kehidupan harian. Anak-anak selalunya akan memilih rakan yang mempunyai sifat, kelakuan dan identiti yang hampir sama untuk bergaul. Oleh hal yang demikian, ibu bapa haruslah mengawal pergaulan dan tingkah laku mereka dengan menjejaki lokasi anak-anak mereka. Rakan sebaya mampu mempengaruhi pemikiran anak-anak yang masih tidak dapat membezakan kebenaran dan kebatilan sesuatu perkara itu. Kealpaan mereka dalam menentukan  yang mana intan, yang mana kaca  akan menyebabkan mereka terjerumus ke dalam kancah kebejatan sosial. Janganlah menyesal kemudian kerana pada ketika itu nasi sudah menjadi bubur tetapi bertindak pada masa yang sesuai agar tidak menyesal pada kemudian hari. Anak-anak hendaklah diawasi sepanjang masa. Sekiranya ibu bapa mendapati mereka mengalami perubahan sifat atau tingkah laku, maka tindakan yang tegas hendaklah diambil untuk mencorakkan akhlak mereka. Ibu bapa haruslah meluangkan masa untuk menemani dan berbual-bual bersama dengan anak-anak tentang masalah yang dihadapi malahan menasihati mereka agar menjauhi rakan-rakan yang bermasalah disiplin sehingga mampu menjejaskan masa depan mereka. Pendek kata, ibu bapa seyogianya mengambil tahu perkembangan dan pergaulan anak-anak demi memastikan mereka menumpukan perhatian terhadap pelajaran untuk menjamin kejayaan yang cemerlang pada masa depan.

 

            Sememangnya tidak dapat dinafikan bahawa ibu bapa patut memastikan anak-anak mendapat pendidikan kerohanian yang secukupnya. Ahli fizikteori Albert Einstein pernah berkata bahawa agama tanpa ilmu adalah buta, ilmu tanpa agama adalah lumpuh. Hal ini memang membuktikan bahawa agama atau ilmu kerohanian dan ilmu saling berkaitan antara satu sama lain. Pegangan agama yang kukuh dapat membentuk sahsiah dan akhlak mulia seseorang itu untuk mendorongnya ke jalan yang tepat. Didikan kerohanian hendaklah didedahkan sejak awal usia anak-anak lagi untuk menjadi pedoman hidup agar anak-anak dapat mengelakkan diri daripada perbuatan maksiat dan salah laku. Didikan ini dapat membentuk keperibadian mulia seseorang untuk menyayangi diri dan alam serta menjamin keharmonian hidup. Ibu bapa boleh mengambil pendekatan dengan mendaftarkan anak-anak mereka mengikuti program berkaitan dengan kerohanian untuk mengisi masa lapang anak-anak di samping memperoleh faedah daripadanya. Anak-anak juga akan mengikut ajaran agama dengan berdoa supaya memperoleh kejayaan yang cemerlang dalam pelajaran. Ibu bapa hendaklah menjadi entiti mithali kepada anak dengan menuruti ajaran agama oleh sebab peribahasa ada menukilkan bahawa ke mana tumpahnya kuah, jika tidak ke nasi. Secara realitinya, anak-anak sering meniru perbuatan ibu bapa mereka. Jelaslah malahan sudah terang lagikan bersuluh bahawa ibu bapa harus menjadi suri teladan dengan mendidik anak-anak melalui ilmu kerohanian yang secukupnya. 

 

            Pada hemat saya, suatu hakikat yang wajar diterima ialah ibu bapa hendaklah selalu berhubung dan berbincang dengan pihak sekolah serta mengadakan sumbang saran dengan guru-guru tentang anak-anak mereka. Ibu bapa hendaklah menggunakan peluang melalui majlis tertentu yang dianjurkan oleh pihak sekolah untuk mengetahui perkembangan anak-anak dan tingkah laku mereka di sekolah. Dengan ini, ibu bapa boleh mengambil tindakan untuk menambah baik kelemahan subjek anak-anak dan tingkah laku mereka. Perjumpaan tersebut juga menjadi satu pentas supaya ibu bapa dapat meluangkan masa untuk lebih memahami anak-anak dan keputusan akademik mereka. Hubungan yang akrab antara pihak sekolah dengan ibu bapa seperti aur dengan tebing  dapat meningkatkan prestasi anak-anak. Pada masa yang sama, ibu bapa harus menjadi pendengar yang baik dengan memahami masalah anak-anak mereka. Ibu bapa juga boleh berbincang tentang cara untuk meningkatkan prestasi anak-anak bersama dengan guru di sekolah. Ibu bapa harus menggalakkan anak-anak untuk meluahkan sebarang masalah yang dihadapi terhadap guru yang mengajar. Masalah dan kesedihan anak-anak mestilah dikongsi bersama-sama agar perasaan tersebut tidak akan terpendam yang akan menjadi satu tekanan dalam diri anak-anak. Ibu bapa juga harus memastikan anak-anak yang bermasalah disiplin diberi amaran dan hukuman yang sesuai untuk mendisiplinkan mereka agar tekun menuntut pelajaran. Dengan bertunjangkan kesahihan fakta, hakikatnya dapatlah kita simpulkan bahawa melalui perbincangan dengan pihak sekolah dapat membantu anak mencapai kecemerlangan dalam pelajaran. 

 

 

[ ibu bapa haruslah menyediakan kemudahan yang lengkap untuk anak-anak belajar. - buku-buku rujukan dan buku latihan -membuat ulang kaji secara sempurna dan menyeluruh - Tempat belajar bersih dan senyap - menjadi gangguan semasa anak-anak sedang belajar - Latihan dan bahan rujukan yang lengkap - memahami subjek-subjek yang diajar di sekolah dengan lebih jelas dan teliti. - meluangkan masa untuk memberi tunjuk ajar kepada anak-anak - menjamin pemahaman dan penguasaan pelajar berkaitan sesuatu topik. - memperoleh penjelasan secara terperinci. – malu berkayuh perahu hanyut, malu bertanya sesat jalan - memperoleh kejayaan yang cemerlang dalam setiap peperiksaan yang dihadapi. - membentuk anak-anak yang berkeyakinan untuk meraih kejayaan dalam pelajaran – ilmu ibarat pelita yang menjadi penyuluh ketika berada dalam kegelapankeluarga yang marem dan sakinah - tempat yang paling baik – Sikap yang positif haruslah disemai dalam jiwa anak - menjamin kesejahteraan hidup - pembentukan keperibadian mulia mereka]

 

 

            Sebagai menggulung segala lontaran idea yang dibicarakan, memang tidak dapat dipertikaikan bahawa ibu bapa perlulah memainkan peranan yang optimum dan cakna akan kejayaan anak-anak dalam pelajaran. Dalam hal ini, ibu bapa tidak harus mementingkan kerja mereka sehingga mengabaikan pelajaran anak-anak tetapi perlu mengutamakan kerukunan iklim rumah tangga. Anak-anak yang masih belum matang seperti terungkap dalam peribahasa umur setahun jagung darah setampuk pinang memerlukan pengawasan daripada ibu bapa terutama dalam pergaulan dengan rakan sebaya. Rentetan itu, pendidikan kerohanian tidak boleh diabaikan sama sekali agar anak tidak menjadi seolah-olah kapal kehilangan nakhoda. Ibu bapa juga wajar mengikuti perkembangan anak-anak dan sering bertukar-tukar pendapat dengan guru di sekolah. Seperkara lagi, anak-anak yang memerlukan sokongan moral seharunya disediakan kemudahan yang secukupnya di rumah agar terus mencapai kejayaan yang cemerlang dalam pelajaran. Bertitik tolak daripada itu, ibu bapa tidak patut memberi tekanan yang berlebihan terhadap prestasi mereka kerana anak-anak juga memerlukan ruang tersendiri untuk melepaskan tekanan dalam pelajaran. Maka, untuk menjamin masa depan anak-anak agar dapat meraih kejayaan dalam pelajaran, ternyatalah bahawa ibu bapa merupakan agen pertama dalam membantu mereka ke arah kejayaan. Kalau bukan ibu bapa siapa lagi yang akan memikul obligasi vital ini?

No comments:

Post a Comment