CIRI-CIRI REMAJA CEMERLANG
Remaja Berguna Pemangkin
Kerukunan Keluarga, Masyarakat jua Negara.
Begitulah aforisme yang mengungkapkan signifikannya peranan remaja pada masa
ini. Kata-kata menyuntik semangat ini menyeru para remaja agar mempunyai
iltizam yang kuat demi memajukan diri masing-masing. Mengikut kajian yang
pernah dilakukan usaha yang gigih tanpa mengenal jemu serta memiliki sahsiah
yang terpuji mampu menjadikan remaja anak watan yang berguna. Remaja kini
begitu terdedah kepada pelbagai bentuk cabaran sama ada melalui pengaruh media
massa, ajakan atau desakan daripada rakan sebaya yang banyak mempengaruhi
akidah mereka. Remaja yang rata-ratanya mempunyai semangat inkuiri yang
tinggi berserta gelodak keinginan untuk mencuba sering berpegang pada falsafah
membujur
lalu, melintang patah ini perlu
dipandu dan ditarbiah ke jalan yang benar memandangkan remajalah yang bakal
memegang tampuk pemerintahan negara ini. Namun demikian, amatlah malang kepada
negara kita jika remaja yang diharap-harapkan akan sentiasa mendukung
panji, Pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara kini
dikaitkan dengan isu keruntuhan akhlak. Perbuatan yang melanggar norma, aturan
atau hukum dalam masyarakat yang dilakukan pada usia remaja ini dikatakan
membawa petanda yang tidak baik kepada generasi akan kerana air
perabung mengalir ke cucur atap. Oleh itu, remaja seharusnya memiliki
ciri-ciri cemerlang demi kerukunan bersama. Persoalannya, apakah ciri-ciri
remaja cemerlang dambaan negara?
Menurut
ilmuan sains yang terkenal iaitu Albert Einstein agama tanpa ilmu adalah buta,
ilmu tanpa agama adalah lumpuh. Dengan itu, jelaslah bahawa ciri
signifikan remaja cemerlang ialah mereka akan mendalami ilmu agama dalam
membentuk sahsiah diri yang terpuji. Mengapakah ciri ini dianggap penting? Hal
ini demikian ilmu agama merupakan ilmu yang mendekatkan diri seseorang kepada
Maha Pencipta. Tiada ilmu yang lebih mulia dan syumul melainkan ilmu. Tambahan
pula, ilmu dan agama mempunyai hubung kait yang sangat akrab bagai
api dengan asap. Seseorang yang mendalami ilmu tetapi tidak
berlandaskan atau berpaksikan agama tidak akan merasai nikmat Tuhan.
Sebagai analoginya, akhlak terpuji
dan sempurna yang terkandung dalam kitab-kitab agama pastinya akan menjadi
sumber primer bagi membina pemahaman yang kukuh tentang kemuliaan dan
kehebatan memiliki sahsiah yang terpuji. Pembelajaran melalui pembacaan dan
penelaahan yang mendalam sebegini mampu memberi input yang berguna seperti
memahami nilai yang perlu dipraktikkan dalam kehidupan sehari-hari.
Nilai-nilai seperti ketakwaan, kesabaran, kegigihan, keikhlasan dan itegriti
memandu diri remaja membina peribadi mulia selain mampu memberikan anjakan
paradigma dalam melahirkan segala tindak
tanduk berpaksikan tuntutan agama. Memang tidak dinafikan bahawa dengan
mendalami ilmu agama, seseorang remaja itu mampu membentuk sahsiah diri yang
terpuji malah tidak akan terjebak dalam isu keruntuhan akhlak remaja.
Syurga di bawah telapak kaki ibu. Proklamasi ini menjelaskan ciri remaja cemerlang seterusnya iaitu
menumpahkan ketaatan sepenuhnya kepada ibu bapa. Hal ini demikian kerana ibu
bapa merupakan insan yang paling dekat dengan diri remaja sesudah dilahirkan di
muka bumi ini. Anak-anak dijaga dengan penuh kasih sayang bagai
menatang minyak yang penuh oleh mereka. Begitu besar pengorbanan
ibu bapa terhadap remaja bermula dengan ibu yang mengandungkan mereka dengan
jerih payah selama sembilan bulan sepuluh hari ditambah pula dengan jasa bapa
yang bertungkus lumus mencari nafkah bagi menyara keluarga. Walaupun cuma untuk
sesuap nasi tetapi itulah titik peluh ikhlas yang dilakukan oleh bapa. Secara
relatifnya, remaja tidak seyogianya bersikap seperti Si Tanggang atau Si
Malim Kundang yang merupakan anak derhaka terhadap ibunya. Remaja
kontemporari seharusnya taat kepada ibu bapa dengan cara mendengar dan menerima
nasihat yang diberikan mereka dengan tangan yang terbuka dan hati yang lapang.
Pada masa yang sama mentaati ibu bapa merupakan amalan yang wajib ditunaikan
setiap anak. Terdapat hadis yang
bermaksud, “Sesiapa yang ingin dipanjangkan umurnya dan ditambah
rezekinya, maka hendaklah dia berbakti kepada ibu bapanya dan menyambung tali
silaturahim." Sudah terang lagikan bersuluh bahawa
mentaati ibu bapa mampu menjadikan remaja sebagai individu yang mempunyai
sahsiah diri terpuji dan terhalang daripada melakukan perkara-perkara yang
merosakkan akhlak
Kata-kata pujangga, berkawan
biar seribu tetapi musuh jangan sesekali dicari. Dengan itu,
ciri terakhir yang tidak dapat dikesisikan kepentingannya termasuklah
menjalinkan hubungan yang akrab dengan rakan dan taulan. Tak tumbuh tak melata, tak
sungguh orang tak kata! seorang remaja akan meluangkan masa yang lebih
bersama-sama rakan-rakannya berbanding dengan ibu bapa atau saudaranya. Hal ini
demikian kerana selain keluarga tercinta yang dekat di hati, rakan merupakan
tempat mengadu, mencurah perasaan dan berkongsi masalah. Sehubungan dengan itu,
remaja seharusnya menjaga atau memelihara hubungan yang baik dengan rakan
mereka. Seseorang yang mempunyai sahsiah diri yang terpuji harus seimbang dari
segi jasmani, emosi, rohani dan intelek. Sebagai tamsilannya, seseorang remaja
itu hendaklah memberikan pertolongan kepada rakan yang memerlukan bantuan
kerana rakan yang baik akan membantu rakannya yang berada dalam kesusahan.
Dalam kehidupan yang singkat ini, kita perlu berbaik-baik dengan semua orang
dan bekerjasama dalam semua bidang kerana yang berat sama dipikul,
yang ringan sama dijinjing. Sehubungan dengan itu, rakan-rakan
juga tidak akan berasa kekok sekiranya kita tidak bersikap bagai buntal
kembung. Izharnya, jalinan hubungan yang baik dengan rakan-rakan
menyebabkan kebejatan moral tidak akan ada dalam kamus hidup seseorang
remaja sejajar dengan visi untuk menjadi remaja bersahsiah terpuji.
Secara holistiknya, gagasan dan
obligasi untuk memupuk, membangunkan dan meningkatkan mutu akhlak dalam
kalangan remaja merupakan tanggungjawab besar. Sesungguhnya, amanah ini
tidak dapat dilakukan dengan jayanya kecuali oleh remaja yang berjiwa besar dan
mempunyai kualiti kemanusiaan yang tinggi. Saya yakin dengan izin Tuhan dan
berlandaskan prinsip atau ciri di atas, remaja bersahsiah diri terpuji mampu
dilahirkan. Mutiara kata ulamak tersohor Hamka dapat dijadikan pedoman dalam meniti
kehidupan ini. Menurut beliau, “aku hairan melihat orang menyisir
rambutnya setiap hari, tetapi tidak pernah menyisir otaknya, memperkemas
dadanya, tidak pernah mencuci hatinya. Digosok kasutnya tetapi tidak akalnya.” Lantaran
itu, remaja tidak akan mlakukan perkara sia-sia yang akan menyesatkan mereka
daripada landasan sebenar sebaliknya pemurnian hati, pemantapan akhlak, ilmu
dan akidah akan terus menjadi pegangan perjalanan hidup mereka. Semoga
isu keruntuhan akhlak remaja akan lenyap agar tidak lagi menebarkan budaya
negatif kepada generasi yang akan datang persis kata peribahasa, sebab
nila setitik rosak susu sebelanga. Ayuh remaja, bertindaklah segera
dalam memainkan peranan anda dalam mengekang isu keruntuhan akhlak yang
sangat sinonim dengan golongan remaja!
Borgata to close casino and hotel near Borgata - Dr.MCD
ReplyDeleteThe Borgata Hotel Casino 계룡 출장샵 & 광양 출장마사지 Spa, which operates on the Boardwalk, is 하남 출장마사지 closing on Friday, July 26, 수원 출장안마 after 20 years 영주 출장샵 of construction.