Wednesday, 7 October 2020

KARANGAN YANG DITULIS OLEH PELAJAR

 

Kepentingan Internet

 

Sekali air bah sekali pantai berubah. Begitulah  gambaran revolusi ledakan maklumat pada era pascamoden ini.Penggunaan internet bagaikan ‘makanan’ harian kita. Internet juga umpama sungai  besar mengalir tanpa  kawalan dan boleh diakses oleh sesiapa sahaja tanpa mengira usia dan latar belakang. Namun, ada yang beranggapan internet merupakan sungai kotor dan tercemar. Walaupun begitu tepuk dada tanya selera  kerana kita harus mengakui setiap hasil teknologi moden memang membawa kesan sampingan yang tersendiri. Ironisnya, memang tidak  dapat dinafikan internet telah membawa pelbagai faedah kepada kita.

          Faedah internet yang dianggap dominan adalah dapat mengeratkan hubungan sesama manusia secara globalisasi. Hal ini demikian kerana internet umpama tali yang menghubungkan seluruh dunia. Internet berperanan penting dalam mengurangkan jurang perhubungan antara negara yang mempunyai budaya, ras, etnik dan bahasa yang berlainan. Perhubungan sesama manusia menjadi mudah dengan wujudnya alat perhubungan seperti ‘skype’, MSN atau ICQ. Berkawan melalui internet yang berbentuk perkataan dan rakaman video membolehkan mesej disampaikan dengan lebih berkesan tanpa halangan perasaan malu. Hal ini dapat merapatkan silatulrahim terutamanya dalan masyarakat timur yang bersikap konservatif. Jelaslah bahawa internet sangat berjasa dalam merapatkan hubungan sesama insan  yang berteraskan isi dengan kuku.

          Tambahan pula, internet menyediakan berbagai-bagai maklumat untuk pelbagai kegunaan dalam kuantiti yang tidak terhingga. Dengan melayari internet, kita boleh memperoleh pengetahuan dalam pelbagai bidang termasuklah bahan-bahan yang tidak pernah terduga oleh kita. Internet boleh sahaja diibaratkan sebuah perpustakaan bergerak yang penuh dengan khazanah ilmu. Pada hari ini, internet memberikan kita wikipedia yang berfungsi sebagai ensiklopedia percuma. Tamsilnya, enjin carian ‘Google.com’ mahupun ‘Yahoo’ yang menyediakan maklumat dengan begitu banyak, mudah dan cepat. Justeru, lautan pengetahuan kita dapat diperluas demi mewujudkan  masyarakat yang berinformas dan mengelakkan kita daripada menjadi seperti katak di bawah tempurung.

          Selain itu, faedah internet yang ditelusuri juga adalah sebagai medium penyaluran maklumat yang efisien. Penghantaran maklumat melalui internet lebih menjimatkan masa dan kos daripada perkhidmatan pos secara konvensional. Maklumat boleh disalurkan ke luar sempadan negara dengan hanya menekan butang ‘send’ .  Prosesnya amat mudah, cepat dan selamat. Pada masa ini, penggunaan e-mel telah menjadi suatu kemestian untuk kita menyalurkan maklumat kerana perkhidmatannya cekap dan maklumat boleh dihantar dalam  bentuk  video, audio, tulisan mahupun simbol. Ingatlah masa itu umapama  pedang; jika tidak memancungnyanya, ia akan memancung kita. Jelaslah bahawa internet dapat menyalur dan menghantar maklumat dengan mudah  yang boleh memudahkan tugas manusia.

          Secara tuntasnya, internet memainkan  peranan yang amat penting dalam kehidupan kita pada era maklumat di hujung jari ini.  Sesungguhnya kempen Sebuah Komputer Setiap Rumah  hendaklah diadakan secara konsisten serta prolifik, dan bukannya secara melepaskan batuk di tangga. Justeru,  kemahiran menguasai komputer dan internet perlu dilengkapkan sejak kecil lagi kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya.

 

Karangan Asal oleh: Ms Yeoh Hui Li (Ting 3-SMK Jitra, Kedah Darul Aman)

Diadaptasi & Disediakan oleh: Muin Mohsein

 

 

Punca-punca Peningkatan  Mendadak Penggunaan Telefon Selular Dalam Kalangan Remaja Di Malaysia

 

          Dalam dasawarsa ini, telefon selular telah menjadi satu kemestian yang perlu ada pada setiap orang. Telefon selular bukan lagi alat untuk bermegah-megah. Pada hari ini sudah menjadi satu senario biasa apabila kita melihat anak-anak  remaja bergaya dengan telefon selular masing-masing. Ironisnya, terdapat pelbagai punca yang menjadi penyebab peningkatan mendadak penggunaan telefon selular dalam kalangan remaja kerana  Kalau tidak berada-ada masakan tempua bersarang rendah.

          Punca yang dianggap signifikan fenomena ini berlaku adalah disebabkan  remaja pada era pascamoden ini lebih bersikap materialistik. Hal ini demikian kerana  mereka menganggap penggunaan barang berjenama atau peralatan teknologi tercangih akan menyebabkan  mereka kelihatan  lebih bergaya. Bagi mereka biar papa asalkan bergaya. Justeru, ada antara remaja yang sanggup membelanjakan wang saku semata-mata untuk membeli ‘keseronokan’. Jenama telefon seperti Nokia, Samsung, Asus, Sony Ericson dan sebagainya sentiasa  meniti dari bibir ke bibir. Jelaslah bahawa remaja yang berpaksikan prinsip ada padi semua kerja jadi dan ada beras semua kerja deras telah menyumbang kepada peningkatan penggunaan telefon selular  ini.

          Intihanya, peningkatan penggunaan telefon selular disebabkan oleh pelbagai faktor yang dapat diklasifikasikan pada faktor dalaman dan luaran. Sesungguhnya , alat ini bagaikan pintu tidak berpasak sekiranya kita mengunakannya secara tidak berhemah. Justeru, para remaja perlulah bijak menggunakannya supaya alat ini tidak ‘makan tuan’.Tepuk dada tanyalah selera.

 

Karangan Asal oleh: Mr Ooi Chin Soon (Ting 4 Omega –Kolej Sultan Abdul Hamid, Alor  Setar, Kedah )

Diadaptasi & Disediakan oleh: Muin Mohsein

No comments:

Post a Comment