Dalam menghadapi
dunia yang semakin mencabar ini pelajaran sangat penting dalam kehidupan
seseorang.
Huraikan
peranan ibu bapa untuk membantu anak-anak mencapai kejayaan yang cemerlang
dalam pelajaran.
Proklamasi keluarga bahagia tunjang kemakmuran negara jelas
memanifestasikan bahawa institusi keluarga terutamanya ibu bapa memainkan
peranan yang afdal dalam membentuk hala tuju anak-anak pada masa hadapan. Kejayaan anak-anak dalam bidang akademik bukanlah sekadar
ilusi atau fatamorgana semata-mata tetapi memerlukan komitmen yang jitu
daripada ibu bapa.. Pernyataan ini terbukti apabila terdapat ramai pelajar
sekolah rendah, sekolah menengah mahupun mahasiswa yang telah meraih pencapaian
cemerlang dalam pelajaran mereka. Kontradiksinya, di sebalik kejayaan tersebut
terselit resepi yang tidak diketahui orang serta seribu satu onak dan ranjau
yang telah diharungi. Dalam hal ini, dua orang insan iaitu ibu dan bapa yang
telah memberikan semangat dan asuhan sejak hari pertama kita menjejakkan kaki
ke dunia ini amat berjasa terhadap kehidupan kita. Mereka menjaga kita dengan
penuh kasih sayang bagai menatang minyak yang penuh. Mereka berhempas
pulas membanting tulang mencari rezeki setiap hari supaya mampu menampung
kehidupan anak-anak. Pendidikan oleh kedua-dua ibu bapa dapat membantu
anak-anak menentukan masa depan mereka. Hal ini demikian kerana anak-anak diibaratkan
sebagai kain putih dan ibu bapalah yang mencorakkannya sama ada seindah warna
pelangi atau semalap pelita yang kehabisan minyak. Ibu bapa menggalas
tanggungjawab yang besar dengan memberi tunjuk ajar dalam pelajaran dan berdoa
untuk anak-anak supaya mencipta kejayaan. Mereka menjadi tonggak kepada
anak-anak melalui sokongan moral dan menyediakan keperluan asas anak mereka.
Persoalannya, apakah peranan ibu bapa untuk membantu anak-anak mencapai
kejayaan yang cemerlang dalam pelajaran?
Umum mengetahui
bahawa peranan perdana yang dimainkan oleh kedua-dua ibu bapa adalah dengan mengutamakan
iklim rumah tangga yang dibina dalam situasi yang aman dan damai. Ibu bapa
hendaklah menyediakan tempat belajar yang kondusif untuk anak-anak dengan semua
buku rujukan supaya anak-anak dapat memfokuskan diri dalam pelajaran dengan
sepenuhnya. Anak kunci keamanan dan kebahagiaan rumah tangga ialah sikap saling
memahami, berkasih sayang dan tambatan cinta yang luhur dan abadi. Ibu bapa
berperanan dalam mengekalkan keharmonian dan keceriaan rumah tangga supaya
menjamin anak-anak dapat membesar dengan gembira, selamat dan sihat. Ibu bapa
hendaklah membebaskan anak-anak daripada sebarang masalah dengan memberi
dorongan, tunjuk ajar, nasihat dan didikan kerohanian sejak awal usia persis
kata peribahasa melentur buluh biarlah dari rebungnya. Ibu bapa
harus mengelakkan diri daripada bergaduh atau bertengkar di hadapan anak-anak
kerana akan memberikan tekanan dan menakutkan mereka. Sekiranya perkara ini
berlarutan, maka anak-anak tidak akan mampu memberi perhatian terhadap
pelajaran dan menyebabkan masalah psikologi. Perpecahan keluarga juga mengganggu
kesejahteraan rumah tangga. Dalam pada itu, ibu bapa memainkan peranan yang
signifikan dalam menjamin kedamaian dan keharmonian antara ahli keluarga agar
mentaati konsep rumahku syurgaku untuk kepentingan semua anggota
terutamanya anak-anak. Secara ringkasnya, dapatlah dikatakan bahawa ibu bapa
memikul pundak yang dominan dengan sentiasa bertolak ansur antara satu sama
lain demi menjamin kerukunan iklim rumah tangga.
Sesungguhnya, kita
sedia maklum bahawa ibu bapa wajar mengambil inisiatif secara beristiqamah dalam
mengawasi perkembangan dan pergaulan anak-anak dengan rakan sebaya. Rakan
sebaya anak-anak berperanan besar dalam mempengaruhi mereka dalam kehidupan
harian. Anak-anak selalunya akan memilih rakan yang mempunyai sifat, kelakuan
dan identiti yang hampir sama untuk bergaul. Oleh hal yang demikian, ibu bapa haruslah
mengawal pergaulan dan tingkah laku mereka dengan menjejaki lokasi anak-anak
mereka. Rakan sebaya mampu mempengaruhi pemikiran anak-anak yang masih tidak
dapat membezakan kebenaran dan kebatilan sesuatu perkara itu. Kealpaan mereka
dalam menentukan yang mana intan, yang mana kaca
akan menyebabkan mereka terjerumus ke dalam kancah kebejatan sosial. Janganlah menyesal
kemudian kerana pada ketika itu nasi sudah menjadi bubur tetapi
bertindak pada masa yang sesuai agar tidak menyesal pada kemudian hari.
Anak-anak hendaklah diawasi sepanjang masa. Sekiranya ibu bapa mendapati mereka
mengalami perubahan sifat atau tingkah laku, maka tindakan yang tegas hendaklah
diambil untuk mencorakkan akhlak mereka. Ibu bapa haruslah meluangkan masa
untuk menemani dan berbual-bual bersama dengan anak-anak tentang masalah yang
dihadapi malahan menasihati mereka agar menjauhi rakan-rakan yang bermasalah
disiplin sehingga mampu menjejaskan masa depan mereka. Pendek kata, ibu bapa
seyogianya mengambil tahu perkembangan dan pergaulan anak-anak demi memastikan
mereka menumpukan perhatian terhadap pelajaran untuk menjamin kejayaan yang
cemerlang pada masa depan.
Sememangnya tidak
dapat dinafikan bahawa ibu bapa patut memastikan anak-anak mendapat pendidikan kerohanian
yang secukupnya. Ahli fizikteori Albert Einstein pernah berkata bahawa agama
tanpa ilmu adalah buta, ilmu tanpa agama adalah lumpuh. Hal ini memang
membuktikan bahawa agama atau ilmu kerohanian dan ilmu saling berkaitan antara
satu sama lain. Pegangan agama yang kukuh dapat membentuk sahsiah dan akhlak
mulia seseorang itu untuk mendorongnya ke jalan yang tepat. Didikan kerohanian hendaklah
didedahkan sejak awal usia anak-anak lagi untuk menjadi pedoman hidup agar
anak-anak dapat mengelakkan diri daripada perbuatan maksiat dan salah laku.
Didikan ini dapat membentuk keperibadian mulia seseorang untuk menyayangi diri
dan alam serta menjamin keharmonian hidup. Ibu bapa boleh mengambil pendekatan
dengan mendaftarkan anak-anak mereka mengikuti program berkaitan dengan kerohanian
untuk mengisi masa lapang anak-anak di samping memperoleh faedah daripadanya.
Anak-anak juga akan mengikut ajaran agama dengan berdoa supaya memperoleh
kejayaan yang cemerlang dalam pelajaran. Ibu bapa hendaklah menjadi entiti
mithali kepada anak dengan menuruti ajaran agama oleh sebab peribahasa ada
menukilkan bahawa ke mana tumpahnya kuah, jika tidak ke nasi. Secara
realitinya, anak-anak sering meniru perbuatan ibu bapa mereka. Jelaslah malahan
sudah terang lagikan bersuluh
bahawa ibu bapa harus menjadi suri teladan dengan mendidik anak-anak melalui
ilmu kerohanian yang secukupnya.
Pada hemat saya, suatu hakikat yang wajar diterima ialah ibu bapa hendaklah selalu berhubung
dan berbincang dengan pihak sekolah serta mengadakan sumbang saran dengan
guru-guru tentang anak-anak mereka. Ibu bapa hendaklah menggunakan peluang melalui
majlis tertentu yang dianjurkan oleh pihak sekolah untuk mengetahui
perkembangan anak-anak dan tingkah laku mereka di sekolah. Dengan ini, ibu bapa
boleh mengambil tindakan untuk menambah baik kelemahan subjek anak-anak dan
tingkah laku mereka. Perjumpaan tersebut juga menjadi satu pentas supaya ibu
bapa dapat meluangkan masa untuk lebih memahami anak-anak dan keputusan
akademik mereka. Hubungan yang akrab antara pihak sekolah dengan ibu bapa seperti aur dengan tebing dapat meningkatkan prestasi anak-anak. Pada
masa yang sama, ibu bapa harus menjadi pendengar yang baik dengan memahami
masalah anak-anak mereka. Ibu bapa juga boleh berbincang tentang cara untuk
meningkatkan prestasi anak-anak bersama dengan guru di sekolah. Ibu bapa harus
menggalakkan anak-anak untuk meluahkan sebarang masalah yang dihadapi terhadap
guru yang mengajar. Masalah dan kesedihan anak-anak mestilah dikongsi
bersama-sama agar perasaan tersebut tidak akan terpendam yang akan menjadi satu
tekanan dalam diri anak-anak. Ibu bapa juga harus memastikan anak-anak yang
bermasalah disiplin diberi amaran dan hukuman yang sesuai untuk mendisiplinkan
mereka agar tekun menuntut pelajaran. Dengan bertunjangkan kesahihan fakta,
hakikatnya dapatlah kita simpulkan bahawa melalui perbincangan dengan pihak
sekolah dapat membantu anak mencapai kecemerlangan dalam pelajaran.
[ ibu bapa haruslah
menyediakan kemudahan yang lengkap untuk anak-anak belajar. - buku-buku rujukan
dan buku latihan -membuat ulang kaji secara sempurna dan menyeluruh - Tempat
belajar bersih dan senyap - menjadi gangguan semasa anak-anak sedang belajar - Latihan
dan bahan rujukan yang lengkap - memahami subjek-subjek yang diajar di sekolah
dengan lebih jelas dan teliti. - meluangkan masa untuk memberi tunjuk ajar
kepada anak-anak - menjamin pemahaman dan penguasaan pelajar berkaitan sesuatu
topik. - memperoleh penjelasan secara terperinci. – malu berkayuh perahu hanyut, malu bertanya sesat jalan - memperoleh
kejayaan yang cemerlang dalam setiap peperiksaan yang dihadapi. - membentuk
anak-anak yang berkeyakinan untuk meraih kejayaan dalam pelajaran – ilmu ibarat pelita yang menjadi penyuluh
ketika berada dalam kegelapankeluarga
yang marem dan sakinah - tempat
yang paling baik – Sikap yang positif haruslah disemai dalam jiwa anak - menjamin
kesejahteraan hidup - pembentukan keperibadian mulia mereka]
Sebagai menggulung
segala lontaran idea yang dibicarakan, memang tidak dapat dipertikaikan bahawa ibu bapa perlulah memainkan
peranan yang optimum dan cakna akan kejayaan anak-anak dalam pelajaran. Dalam
hal ini, ibu bapa tidak harus mementingkan kerja mereka sehingga mengabaikan
pelajaran anak-anak tetapi perlu mengutamakan kerukunan iklim rumah tangga.
Anak-anak yang masih belum matang seperti terungkap dalam peribahasa umur setahun jagung darah setampuk
pinang memerlukan pengawasan daripada ibu bapa terutama dalam pergaulan
dengan rakan sebaya. Rentetan itu, pendidikan kerohanian tidak boleh diabaikan
sama sekali agar anak tidak menjadi seolah-olah kapal kehilangan nakhoda.
Ibu bapa juga wajar mengikuti perkembangan anak-anak dan sering bertukar-tukar
pendapat dengan guru di sekolah. Seperkara lagi, anak-anak yang memerlukan
sokongan moral seharunya disediakan kemudahan yang secukupnya di rumah agar
terus mencapai kejayaan yang cemerlang dalam pelajaran. Bertitik tolak daripada
itu, ibu bapa tidak patut memberi tekanan yang berlebihan terhadap prestasi
mereka kerana anak-anak juga memerlukan ruang tersendiri untuk melepaskan
tekanan dalam pelajaran. Maka, untuk menjamin masa depan anak-anak agar dapat
meraih kejayaan dalam pelajaran, ternyatalah bahawa ibu bapa merupakan agen pertama
dalam membantu mereka ke arah kejayaan. Kalau bukan ibu bapa siapa lagi yang akan
memikul obligasi vital ini?
No comments:
Post a Comment