Baca petikan
di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang faedah
bersukan dan cabaran yang dihadapi untuk memajukan sukan negara. Panjang
rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.
Sukan ialah segala kegiatan yang memerlukan kemahiran
atau ketangkasan serta tenaga yang dilakukan sama ada sebagai acara
pertandingan, hiburan ataupun untuk mengisi masa lapang dan beriadah. Aktiviti
sukan yang agak popular pada masa ini ialah olahraga, renang, bola sepak,
tenis, badminton dan squasy.
Inisiatif untuk memupuk minat masyarakat terhadap
kegiatan bersukan ini harus bermula dari bangku sekolah lagi khususnya dari
peringkat remaja. Ibu bapa turut bertanggungjawab dalam usaha membentuk
peribadi anak yang bersukan sejak dari peringkat awal lagi. Ibu bapa juga perlu
mendorong dan menggalakkan anak mereka dengan cara membeli peralatan sukan yang
diminati anak, memberikan sokongan moral dengan menghantar anak-anak mereka ke
tempat latihan dan membelikan anak-anak majalah sukan.
Banyak faedah yang diperoleh remaja sekiranya mereka
aktif bersukan. Faedah bersukan yang utama ialah dapat mendisiplinkan diri. Hal
ini dikatakan demikian kerana individu yang ingin berjaya dalam bidang sukan
mesti mempunyai disiplin yang tinggi dan dapat mengawal diri untuk mematuhi
peraturan yang ditetapkan. Sukan juga penting bagi melahirkan remaja yang
sihat, sama ada dari segi fizikal ataupun mental. Dengan kegiatan bersukan,
remaja boleh membina tubuh badan yang sihat, cergas dan menarik.
Kegiatan bersukan bukan sahaja baik untuk kesihatan
malah sesuai dijadikan hobi dan boleh dilakukan dengan kawan atau keluarga pada
setiap pagi, petang atau hujung minggu. Dengan mengisi masa lapang, kegiatan
sukan dapat meningkatkan tahap kesihatan diri, malah mengelakkan diri daripada
membuang masa dengan perkara yang tidak berfaedah. Bukan itu sahaja, remaja
juga dapat menghindari masalah sosial yang kian meruncing belakangan ini.
Seterusnya, kegiatan bersukan penting untuk menyemai semangat permuafakatan dan
kesukanan dalam kalangan remaja yang berbeza latar belakang.
Dewasa ini kita dapat menyaksikan banyak orang yang
telah menceburi bidang sukan pilihan mereka untuk dijadiakan platform membina
kerjaya. Sukan bukan sekadar riadah sematamata kerana sukan juga merupakan
bidang yang mampu menjana pulangan yang lumayan. Hal ini dapat dicapai
sekiranya sukan diceburi secara serius. Sebenarnya sukan merupakan saluran
paling berkesan bagi menyatupadukan rakyat pelbagai kaum di negara ini. Dalam
acara sukan, atlet yang terdiri daripada pelbagai kaum bekerjasama untuk
mencapai satu matlamat, iaitu kejayaan kepada pasukan, negeri atau negara yang
diwakilinya.
Walaupun terdapat segelintir remaja yang tidak meminati
sukan dan tidak melibatkan diri dengan kegiatan kokurikulum, usaha untuk
menarik minat golongan ini haruslah kekal berterusan, bak kata pepatah,
“genggam bara api biar sampai jadi arang”. Jadikanlah kegiatan bersukan itu
sebahagian daripada kehidupan kita.
Soalan Pemahaman : Berdasarkan petikan Soalan 1, jawab soalan-soalan
yang berikut dengan menggunakan ayat anda sendiri.
(i) Berikan maksud rangkai kata peringkat awal
berdasarkan petikan . [2 markah]
(ii) Pengarang menyatakan beberapa usaha ibu bapa dalam menggalakkan anak-anak
menyertai aktiviti sukan. Nyatakan usaha-usaha tersebut. [3
markah] (iii) Andaikan anda sebagai atlet sukan sekolah dan bergiat aktif dalam
sukan bola sepak, bagaimanakah caranya untuk anda meningkatkan lagi kebolehan
anda dalam bidang sukan tersebut. Kemukakan pendapat anda. [4
markah]
No comments:
Post a Comment