Sunday 25 October 2020

LATIHAN KARANGAN

 KEPENTINGAN BERSUKAN

Sukan bukanlah semata-mata aktiviti fizikal yang dilakukan untuk mengisi masa lapang atau sebagai riadah

kecil kerana semasa bersukan proses merembes keluar bahan bahan kumuh yang tidak diperlukan tubuh badan

berlaku melalui perpeluhan . Mutakhir ini, pemodenan sukan bergerak seiring dengan kemajuan dunia dan

membawa falsafah yang lebih berat. Pertumbuhan pelbagai bidang sukan yang rancak ini digerakkan dengan

lebih dinamik dan professional melalui pertubuhan bukan kerajaan dan juga Kementerian Belia dan Sukan.

Penglibatan masyarakat dalam bidang sukan juga telah banyak membawa manfaat diri, keluarga, masyarakat

dan negara. Sekiranya aktiviti sukan menjadi budaya dalam kehidupan masyarakat bukan sahaja mereka dapat

mengakrabkan hubungan sesama masyarakat, malah kesihatan badan mereka juga sentiasa sihat serta kepada

mereka yang mempunyai kemahiran dalam bidang sukan mampu pula menjana ekonomi untuk membantu

mengurangkan kos sara hidup keluarga.

 

Kegiatan sukan dapat membantu mengekalkan kesihatan fizikal dan mental. Kehidupan zaman moden ini

lebih banyak menggunakan tenaga dalaman dan pemikiran. Golongan profesional dan separa profesional pada

alaf baru sering berlumba-lumba untuk meningkatkan sumber ekonomi diri dan keluarga sehingga mereka

mengabaikan kegiatan fizikal akibat kekurangan waktu untuk tujuan tersebut. Kesibukan ini membawa kepada

masalah kesihatan fizikal dan mental. Kegiatan sukan merupakan  langkah awal bak kata peribahasa “sediakan

 payung sebelum hujan” dalam mengawal obesiti, penyakit kronik seperti darah tinggi, diabetis dan penyakit

jantung. Kegiatan sukan juga dapat membantu mereka yang  menghidap penyakit untuk kembali pulih. Bahkan

 juga penglibatan masyarakat dalam bidang sukan juga mampu menangani ketegangan fikiran dan meringankan

bebanan mental  Sekiranya aktiviti bersukan menjadi amalan masyarakat, sudah pasti bilangan pesakit

kronik negara dapat dikurangkan kerana tubuh badan yang cergas, melahirkan otak yang cerdas

Seyogia,mencegah lebih baik daripada mengubati Tegasnya, penglibatan masyarakat dalam bidang sukan

merupakan usaha efektif dalam melahirkan masyarakat yang sihat.

 

Selain itu, bersukan juga dapat mengisi masa senggang individu. Seseorang yang melibatkan diri dalam bidang

sukan dapat mengisi masa lapang dengan berfaedah kerana masa itu emas , walaupun hanya ada beberapa

minit, masa itu sangat berharga . Masa lapang ini sangat bermanfaat jika digunakan untuk bersukan bagi

mengembalikan tenaga dan melegakan ketegangan atau stres. Bagi golongan remaja pula, penglibatan dalam

bidang sukan dapat menghindarkan diri mereka daripada melakukan perkara-perkara yang tidak bermoral ,

gejala vandalisme serta hedonisme  dan membuang masa sia-sia seperti melepak , merokok dan terlibat dalam

pengambilan dadah. Malah aktiviti riadah ini dapat menarik masyarakat ke arah memanfaatkan masa lapang dengan cara yang lebih baik. Kesannya amat jelas kerana dengan bersukan sukan ahli sukan mampu meningkatkan swadaya 

masyarakat dan melangkah gagah  dengan yakin sehingga ke peringkat antarabangsa  walaupun terpaksa

melalui ranjau pidana  dunia persaingan hari ini. Jikalau aktiviti senggang ini digunakan untuk beriadah

sudah pasti negara akan dapat melahirkan atlet negara bertaraf dunia yang mampu mengharumkan

nama negara tercinta. Sesungguhnya sukan dapat mendisiplinkan masyarakat memanfaatkan masa dengan

lebih bermakna.

 

Di samping itu, bersukan merupakan  salah satu instrumen penting untuk mengeratkan hubungan  perpaduan

dan integrasi masyarakat negara yang berbilang kaum. Hal ini demikian kerana, kegiatan sukan dapat

melahirkan semangat kekitaan dalam pasukan untuk meraih kemenangan.  Sifat bersatu padu juga dapat

dipupuk melalui penglibatan dalam kegiatan sukan kerana bulat air kerana pembetung, bulat  manusia

kerana muafakat. Lantaran itu, hubungan yang erat dapat melahirkan sebuah pasukan yang kuat. Para

penyokong juga dapat menyatupadukan masyarakat berbilang kaum di samping berkongsi minat dalam sukan

yang sama. Dengan ini, nilai-nilai perpaduan seperti bekerjasama, bertoleransi dan meletakkan kepentingan

negara dan pasukan melebihi kepentingan diri dapat dilahirkan melalui penglibatan diri dalam bidang sukan. 

Sekiranya, amalan bersukan menjadi budaya masyarakat sudah pasti keakraban dan kesepaduan

masyarakat akan terjalin dan masalah perkauman akan dapat dielak. Kegiatan sukan dapat mendidik

masyarakat bekerjasama dan bersatu padu serta mengeratkan hubungan antara mereka.

 

 Akhir sekali, sukan juga mampu memberi ruang untuk menambahkan pendapatan secara individu dan

kumpulan. Atlet yang mencapai tahap kemahiran profesional boleh menjadikan sukan sebagai kerjaya dan

boleh meningkatkan ekonomi mereka. Penganjuran dan pengusaha peralatan dan prasarana sukan juga

mampu menjana pendapatan yang besar. Serentak dengan kegiatan sukan secara serius di peringkat  glokal dan

global mampu menjana keuntungan melalui kadar tukaran wang asing kepada negara. Seiring dengan itu,

industri hiliran muncul bersama perkembangan sukan yang diceburi. Kemajuan sukan menampakkan hala tuju  anak

muda yang berkebolehan mengembangkan bakat dan potensi menjadikan sukan sebagai  kerjaya masa depan

mereka. Pemain bola sepak secara professional, pemain badminton  seperti Datuk Lee Chong Wei  dan Shalin

Zulkifli masing-masing menjadikan badminton dan  bowling sebagai kerjaya. Apabila budaya bersukan

menjadi budaya masyarakat  bukan sahaja tubuh badan mereka sihat, malah mereka dapat  meningkat

sara hidup yang kini kian meningkat serta memperkenalkan negara di mata masyarakat dunia. Jelaslah

sukan dapat menjadi kerjaya yang baru kepada masyarakat dalam menangani kos sara hidup yang semakin

meningkat.

 

Kesimpulannya, penglibatan dalam bidang sukan akan membawa pelbagai faedah kepada masyarakat.

Oleh itu , semua lapisan masyarakat amat digalakkan menyertai semua jenis aktiviti sukan kerana bersukan

dapat melahirkan masyarakat yang sihat, bersatu padu, berdaya maju dan berdaya saing. Sukan juga mampu

mengangkat martabat rakyat dan negara di persada antarabangsa agar mampu duduk sama rendah dan berdiri

sama tinggi dengan negara maju yang lain.  Sesungguhnya , sukan berfaedah kepada individu, masyarakat

dan negara. Tegasnya,  kegiatan sukan wajar digalakkan kepada semua lapisan masyarakat.

 

 

No comments:

Post a Comment