Sunday, 18 October 2020

KARANGAN FOKUS SPM 2020

 

Pelbagai masalah mula menekan keluarga  seperti peningkatan kos hidup dan masalah kewangan. Sehubungan dengan itu, anak-anak boleh membantu ibu bapa untuk mengurangkan bebanan kewangan yang semakin meruncing.

Berikan pendapat anda tentang langkah-langkah yang dapat dilakukan oleh anak-anak untuk membantu ibu bapa bagi meringankan beban kewangan keluarga

 

            Pakar-pakar dalam bidang sosioekonomi sering menyatakan bahawa kemajuan ialah ‘kos’. Kos yang dimaksudkan ialah peningkatan dalam nilai berbayar terhadap semua keperluan asas. Hal tersebut amatlah nyata kerana dalam tempoh satu dekad belakangan masyarakat terpaksa berhadapan dengan peningkatan mendadak harga barangan keperluan sehingga mencecah 40 peratus. Kenaikan harga barangan pengguna terutama petroleum, gula dan gandum mengikibatkan semua barangan keperluan yang lain turut meningkat. Fenomena tesebut tidak dapat dielakkan kerana minyak menjadi nadi kehidupan dan berupaya mengubah struktur pasaran semasa. Apabila berlaku perubahan dalam kos hidup, justeru terjadilah sekelompok masyarakat yang terkena bahangnya dan mula merasakan beban kewangan. Golongan yang paling terkesan ialah keluarga yang berada pada garis kemiskinan dengan pendapatan isi rumah di bawah RM 2 500. mereka hidup dalam keadaan kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Ketika berada dalam situasi tertekan seperti sekarang, anak-anak diharap dapat memahami situasi yang dihadapi oleh ibu bapa. Sehubungan dengan itu, anak-anak hendaklah melakukan pelbagai prakarsa agar dapat mengurangkan bebanan kewangan ibu bapa. Oleh itu, persoalan yang akan dirungkai sebentar lagi apakah langkah-langkah yang dapat dilakukan oleh anak-anak untuk membantu ibu bapa bagi meringankan beban kewangan keluarga?

                Budaya berjimat cermat ialah senjata yang paling ampuh dan signifikan yang dapat digunakan digunakan apabila berada dalam situasi begini. Bulan sudah jelas, bayang sudah terang bahawa langkah tersebut amatlah pragmatik dalam menghadapi suasana darurat dalam rumah tangga. Anak-anak diharap dapat memahami keadaan berat ringan yang ditanggung oleh ibu dan ayah. Prakarsa berjimat yang perlu dilakukan hendaklah bermula dengan amalan yang mudah-mudah terlebih dahulu seperti mengawal penggunaan keperluan asas terutama elektrik dan air. Rata-rata ibu bapa merungut tentang sikap anak-anak mutakhir ini yang dengan sewenang-wenangnya mencurahkan air sesuka hati dan membiarkan lampu dan kipas terpasang ketika tidak diperlukan. Memang benar budaya berjimat cermat itu lunak dibicarakan sebaliknya tidak mudah untuk dipraktikkan, namun segala-galanya  berpunca daripada sikap. Contoh yang paling mudah, jikalau kuasa elektrik dijimatkan dan utilitinya di bawah daripada paras RM20 justeru penggunaan domestik tersebut adalah percuama. Senario ini menepati hakikat amalan sedikit-sedikit lama-lama menjadi bukit. Izharnya, budaya dan amalan berjimat cermat perlu dipraktikkan oleh anak-anak agar keluarga tidak dibebani dengan perbelanjaan yang tidak sepatutnya ditanggung.

                Bukan itu sahaja, anak-anak yang baik  akan  prihatin terhadap masalah yang dialami oleh ibu bapa mereka. Oleh hal yang demikian, setiap anak tentulah maklum akan kedudukan kewangan keluarga. Pada masa yang sama, anak-anak perlulah menunjukkan rasa simpati terhadap jerih payah ibu bapa bekerja mencari rezeki. Fahamilah akan beratnya tanggungan persis kata peribahasa, seberapa berat mata memandang beratlah lagi bahu yang memikul. Anak-anak seperti ini sudah pasti akan mengamalkan sikap bersederhana dalam hal makan minum, pakaian dan berbelanja sekadar yang perlu sahaja. Amatlah malang sekali apabila ada anak-anak pada era sekarang seakan-seakan tidak mempunyai sikap belas kasihan kepada ibu bapa. Mereka mudah terdorong untuk menuruti gaya hidup rakan-rakan yang lebih mewah. Mereka mendesak dan meminta-meminta sesuatu yang diluar upaya ibu bapa seperti inginkan pakaian yang berjenama dan berselera untuk makan ditempat-tempat yang eksklusif. Izharnya, anak-anak hendaklah mengelakkan diri  daripada sebarang pengaruh dan budaya bermewah-mewah kerana resam hidup, pipit sama pipit dan enggang sesama enggang masakan dapat terbang bersama.

                Seperkara lagi, walaupun bebanan kos hidup semakin meningkat namun dalam sebuah negara seperti Malaysia, peluang untuk memperoleh pendapatan tambahan sentiasa terbuka. Asal ditugal adalah benihnya! Hal ini demikian, peluang-peluang kerja sambilan seperti pembantu kedai dan berniaga secara kecil-kecilan mudah diperoleh di mana-mana jua. Anak-anak yang bertimbang rasa sudah tentu dapat menghidu peluang tersebut dengan cara melakukan kerja sambilan sewaktu lepas sekolah dan lebih-lebih lagi dalam musim cuti sekolah. Perkara yang penting adalah dengan mengetepikan perasaan malu dan malas. Maklumat berikut dapat kita jadikan teladan. Sebenarnya,  telah banyak teladan yang dapat dikuti daripada ikon-ikon tersohor seperti Tan Seri Syed Mokhtar Al Bukhary, Tan Seri Loh Boon Siew dan Dato Seri Tony Fernandez yang berjaya menjadi konglomerat dengan memulakan peniagaan dari bawah. Oleh itu, langkah yang terpenting setiap anak perlulah mempunyai wawasan dan jiwa yang cekal untuk berjaya ibarat kata tokoh tersohor Sukarno, “gantunglah cita-citamu di bintang yang tinggi sekalipun kakimu masih mencecahi perlimbahan”.

                Kata orang tua-tua; daun boleh melayang jauh getah tetap mengalir ke perdu. Ungkapan tersebut dapat dikaitkan dengan sikap anak-anak yang baik akan sentiasa kembali kepada induknya. Hal demikian kerana amatlah mustahak dijadikan pedoman oleh anak-anak yang telah menginjak usia dewasa. Sebagai analoginya, anak-anak hendaklah memperlihatkan sikap membalas budi dan bertanggungjawab terhadap ibu bapa. Setelah bertahun-tahun ibu bapa mendidik dan menjaga, apabila sayap sudah penuh kembalilah kepada induk untuk melihat susah payah mereka. Bantulah ibu bapa atas kadar yang terdaya. Janganlah apabila telah besar panjang, ibu bapa langsung tidak dijengah. Adik-adik yang masih kecil perlu dibantu. Malanglah sangat apabila kedapatan anak-anak yang sudah besar remaja tetapi masih bergantung kepada ibu bapa. Oleh itu, berpada-padalah dan sedarlah bahawa setiap kita mempunyai tanggungjawab untuk dilaksanakan. Janganlah bersikap kacang lupakan kulit, ibarat gemuk membuang lemak, cerdik membuang saudara.  Jelaslah bahawa anak-anak perlu membalas jasa ibu bapa mereka dalam meringankan beban keluarga.

                Kaya atau miskin, susah mahupun senang sudah menjadi sunnatullah. Semuanya merupakan sebahagian daripada ujian Tuhan terhadap hamba-Nya agar tidak mengenal putus asa. Demi berhadapan dengan cabaran kesusahan dan beban hidup, semua orang digalakkan berusaha dengan lebih gigih. Hidup ibarat roda, hari ini di bawah mungkin esok ke atas. Prakarsa yang paling penting ialah keinginan untuk berusaha dan tidak berputus asa. Peribahasa menyatakan, di mana-mana ada kemahuan di situ ada jalan. Sebagai anak yang sudah besar panjang perlulah mengorak langkah untuk memikirkan sebarang kerja yang dapat meringankan beban ibu bapa. Dalam pada itu, contoh yang diketengahkan sebagai insan yang tidak putus daripada khaliq-Nya, kita perlu berdoa, bermuhasabah dan bermunajat agar diberikan taufik dan hidayah oleh Tuhan sehingga terbuka jalan dan ikhtiar. Yakinlah akan firman Tuhan dengan mafhumnya, “Tuhanmu tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum itu, melainkan kaum itulah yang mengubah nasib mereka sendiri”. Maka, insya-Allah jikalau kita gigih dan tidak putus memohon petunjuk-Nya, nescaya limpah kurnia dan restu-Nya akan tetap bersama-sama kita.

                Intihanya, ketika berdepan dengan pelbagai cabaran sebagai kesan daripada krisis kewangan, setiap keluarga tidak boleh mati akal. Dengan itu, Ibu bapa hendaklah mendidik anak-anak dengan penuh tanggungjawab, manakala anak-anak perlu faham akan tanggungjawab mereka terhadap ibu bapa. Sikap saling menyokong dan saling memerlukan boleh menjadi jambatan untuk menzahirkan impian, “Rumahku Syurgaku”. Semoga dengan sikap yang sentiasa positif segala masalah akan usai juga akhirnya, ibarat sepanjang-panjang jalan berliku ada penghujungnya. Hayatilah hadis yang menyebut bahawa mereka paling dekat denganku kedudukannya  pada hari kiamat kelak ialah orang yang paling baik akhlaknya, dan sebaik-baik kamu ialah yang paling baik terhadap keluarganya.

 

Latihan Karangan Dimensi Keluarga :

 

Selain menjadi suri teladan kepada anak-anak, ibu bapa perlu melengkapkan diri dengan ilmu keibubapaan, dan memupuk nilai kasih sayang dalam diri anak-anak  demi merealisasikan slogan ”Rumahku Syurgaku.

 

Berdasarkan pernyataan tersebut, bincangkan peranan ibu bapa dalam pembentukan keluarga bahagia

 

Pendahuluan: Keluarga merupakan satu institusi yang amat penting dalam sesebuah masyarakat. / wahana kebahagiaan dalam kehidupan seseorang / Daripada keluarga, terpancarnya sinar kasih sayang antara ahlinya. / Daripada keluarga, lahir rasa menghormati dan saling memerlukan yang tidak terucap. / Daripada keluarga, lahirnya insan yang bertanggungjawab terhadap dirinya serta kepada insan lain yang memerlukannya / ‘Baiti Jannati’ atau ‘Rumahku Syurgaku’ - rumah merupakan tempat terperciknya sinar kebahagiaan dalam kehidupan seseorang. / Rumah tangga yang bahagia dan ceria akan melahirkan warga yang juga memiliki ciri-ciri kejiwaan yang sihat seperti gembira, yakin akan kebolehan diri dan sebagainya. Seseorang yang dibesarkan dalam keluarga yang bahagia akan sentiasa dihargai dan diberi sokongan moral dalam apa-apa jua perkara yang dilakukannya. Galakan dan perangsang daripada ibu / bapa yang penyayang dan adik-beradik yang memahami akan membentuk jati diri yang sempurna dalam kalangan ahli keluarga itu. / Namun begitu, pepatah ada mengatakan bahawa bertepuk sebelah tangan, tidak akan berbunyi. / Kita tidak boleh meletakkan tanggungjawab membentuk kebahagiaan keluarga itu di tangan salah seorang ahli keluarga sahaja seperti ibu, bapa atau anak-anak. / Setiap ahli dalam sesebuah keluarga itu perlu bersedia memainkan peranan masing-masing untuk saling bertolak ansur, saling memahami serta saling menghormati antara mereka. / Apabila sifat ini dapat diwujudkan oleh setiap ahli dalam sesebuah keluarga, maka suasana yang harmoni akan dapat diwujudkan.

Isi 1. Sebagai suri teladan kepada anak-anak - Peranan ibu bapa dalam usaha membentuk keluarga sakinah adalah amat penting. Ibu bapa perlu menjadi ‘role-model’ kepada anak-anak. Mereka harus sentiasa menunjukkan teladan yang baik untuk dicontohi oleh anak-anak. / Sebagai contoh, seorang bapa perlu berinteraksi dengan sopan dan lemah-lembut dengan isteri dan anak-anaknya. Ibu dan bapa juga perlu saling menghormati antara satu sama lain. Apabila anak-anak melihat keharmonian kedua-dua orang tua mereka, mereka juga akan meneladani sikap baik itu apabila berinteraksi sesama mereka kerana bapa borek, anak rintik. / Contoh yang negatif diperlihatkan oleh ibu bapa kepada anak-anak, seperti pertengkaran, maki hamun serta penderaan suami terhadap isteri bukan sahaja akan menjejaskan perkembangan jiwa anak-anak, tetapi juga akan menjejaskan hubungan dalam kalangan anak / Mereka juga akan sentiasa bertengkar dan tidak menghormati satu sama lain. Jika hal ini terjadi, rumah akan menjadi neraka kepada anak-anak./ Apabila kebahagiaan di rumah tidak dapat dinikmati, maka anak-anak akan berusaha mendapatkannya daripada kawan-kawan dengan berpelesiran serta melepak di pusat-pusat beli belah. / lebih malang lagi jika apabila anak-anak itu berumah tangga kelak, mereka akan mengulangi sejarah yang tidak berkesudahan yang telah diwarisi oleh mereka daripada kedua-dua orang tua mereka.

Isi 2. Melengkapkan diri dengan ilmu keibubapaan - Ibu bapa perlu melengkapkan diri mereka dengan pengetahuan keibubapaan bagi memahami tanggungjawab besar yang terletak di atas bahu mereka dalam memastikan kebahagiaan keluarga mereka. / Hal ini boleh dilakukan oleh bakal-bakal ibu dan bapa dengan mengikuti kursus-kursus praperkahwinan serta kursus selepas berkahwin yang dikendalikan oleh pejabat agama daerah masing-masing./ Dalam kursus-kursus tersebut, suami isteri akan mendapat ilmu untuk melahirkan sebuah keluarga yang bahagia melalui ceramah dan bengkel-bengkel yang dikendalikan oleh penceramah-penceramah yang berwibawa./ Selepas mendapat ilmu tersebut, perkara yang lebih penting adalah bagi mereka mempraktikkannya untuk melahirkan sebuah rumah tangga yang penuh dengan sinar kebahagiaan.

Isi 3. Memupuk nilai  kasih sayang - Pada era yang penuh dengan persaingan yang sengit ini, masyarakat bertambah sibuk dengan usaha mencari nafkah bagi meningkatkan taraf hidup masing-masing./  Hal ini disebabkan kos sara hidup masa ini yang semakin meningkat. / Statistik telah menunjukkan bahawa hampir 90 peratus ibu yang bekerja hanya bercakap dengan anak-anak mereka selama empat minit sehari. / Hal ini merupakan perkara yang amat menyedihkan kerana anak-anak merupakan golongan yang memerlukan kasih sayang dan perhatian yang secukupnya daripada ibu bapa mereka. / Hukuma-hakama  pernah mengatakan anak- anak yang kehilangan kasih sayang daripada ibu bapa yang sibuk adalah yatim. / Oleh itu, demi membentuk keluarga yang bahagia, ibu bapa yang merupakan peneraju kehidupan dalam sesebuah keluarga perlu meluangkan masa yang berkualiti bersama-sama dengan anak-anak mereka. /  Pada masa ini, kerajaan telah mengumumkan hari Sabtu sebagai cuti umum. Manakala pihak swasta pula , turut memberikan pelepasan kepada para pekerja mereka pada Sabtu pertama setiap bulan./ Seharusnya, ibu dan bapa merebut kesempatan ini untuk bermesra dengan keluarga sambil merehatkan minda setelah penat bekerja. / Menghabiskan waktu cuti dengan berkelah atau berekreasi bersama keluarga akan memberi peluang kepada ahli keluarga untuk berhibur di samping meluangkan masa untuk mengeratkan hubungan di antara mereka./ Sekiranya masa yang berkualiti untuk bersama-sama dengan anak-anak, tidak mustahil kebahagiaan dalam sesebuah keluarga akan dapat diwujudkan.

Isi 4. Memberikan didikan agama dan moral - Didikan agama dan moral yang sempurna dalam kalangan generasi muda juga dapat menyumbang ke arah pembentukan sebuah keluarga yang bahagia. / pegangan agama serta nilai moral yang kuat dapat membentuk nilai sahsiah yang tinggi dalam kalangan generasi muda./ Kualiti ini akan melahirkan ibu dan bapa yang bertanggungjawab serta dapat memikul tugas membangunkan rumah tangga dengan efektif. / Golongan yang berpendidikan agama ini akan mampu mewujudkan persefahaman dan perasaan tolak ansur sesama suami isteri./  Kesabaran kerana iman yang tebal juga akan mengelakkan keluarga daripada bercerai-berai disebabkan alasan yang kadangkala tidak munasabah. / Sebagai ibu dan bapa, kita perlu memberi didikan agama yang kukuh serta menerapkan nilai-nilai akhlak dan moral dalam kalangan anak-anak. Anak-anak yang sopan akan menghormati orang tua mereka serta saling bekerjasama sesama adik beradik bak kata peribahasa, yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing dan hati kuman sama dicecah, hati gajah sama dilapah. / jika semangat ini dapat diwujudkan dalam jiwa setiap ahli keluarga oleh ibu bapa, sudah pasti sebuah keluarga yang mantap dan harmoni akan dapat dilahirkan.

Isi 5. Mengawasi perlakuan dan memantau kegiatan anak-anak - Ibu bapa harus mengawasi perlakuan dan memantau kegiatan luar anak-anak supaya mereka yang baru berumur setahun jagung, darah setampuk pinang tidak terjebak dalam kancah negatif./ Ibu bapa harus memastikan anak-anak tidak bergaul dengan rakan sebaya yang buruk akhlak. Keluarga yang bahagia akan sentiasa menjaga maruah ahli keluarganya./ Anak-anak tidak akan terjebak dalam kancah kehinaan jika mendapat pemantauan yang rapi daripada ibu bapa kerana perbuatan mereka itu akan menconteng arang ke muka ahli keluarga dan sekali gus akan meruntuhkan kebahagiaan yang dikecapi.

 

Penutup - Keluarga yang harmoni dan bahagia hanya akan dapat diwujudkan jika setiap individu yang menganggotainya telah melalui pelbagai proses pemupukan kejiwaan yang berkesan sejak kecil. / Kesediaan setiap anggota untuk bersedia berkorban dan bertolak asur sesama mereka akan memudahkan proses pemupukan keluarga harmoni dan bahagia ini. / Sesungguhnya keluarga bahagia merupakan asas pembentukan masyarakat yang penyayang dan masyarakat yang maju. Jika pincang keluarga maka pincanglah masyarakatnya. / Semoga impian negara untuk mewujudkan masyarakat yang penyayang akan dapat direalisasikan demi kebaikan barsama.

2 comments: