Wednesday 7 October 2020

LATIHAN RUMUSAN

 

LATIHAN RUMUSAN:

 

Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang peranan-peranan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan cara-cara menarik minat ibu bapa bergiat aktif dalam PIBG. Panjangnya rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

 

          Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) ialah entiti utama sesebuah sekolah dan asas penubuhannya termaktub dalam Akta Pendidikan 1961. Objektif penubuhan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) perlulah mendukung visi yang selari dengan dasar-dasar negara seperti Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan Pelan pembangunan Pendidikan Malaysia. Sehubungan dengan itu, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) berfungsi sebagai wahana yang membolehkan ahli berkongsi maklumat melalui pelbagai medium. Namun demikian, penglibatan ibu bapa dalam menjayakan aktiviti Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) masih rendah.

            Perlembagaan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) menetapkan bahawa keahliannya hendaklah terdiri daripada guru sekolah tersebut dan ibu bapa yang anak mereka menuntut di sekolah itu. Pihak Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) perlu mengadakan program-program yang dapat menemukan ibu bapa dengan guru-guru yang mengajar anak mereka untuk menjalinkan ukhuwah antara kedua-dua pihak. Seterusnya, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) juga dapat merapatkan hubungan sesama ibu bapa demi kebajikan anak-anak mereka.  Mereka dapat berjumpa dan bertanya khabar semasa perjumpaan Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan program gotong-royong yang diadakan pada setiap tahun. Di samping itu, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) juga boleh menjadi perantara pihak tertentu dengan pihak sekolah. Sebagai contoh, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dijadikan platform oleh pihak luar untuk melaksanakan sebarang aktiviti yang memberikan faedah kepada pihak sekolah. Selain itu, pihak Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) juga boleh membantu untuk menyelesaikan masalah ibu bapa yang tidak berpuas hati dengan tindakan segelintir guru.

            Selari dengan perlembagaannnya, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) boleh bertindak untuk melengkapkan prasarana fizikal sekolah seperti penyediaan akses jalur lebar, perpustakaan yang lengkap dan kemudahan sukan yang berkualiti. Bagi meningkatkan pencapaian akademik pula, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) boleh menubuhkan tabung pendidikan untuk menambahkan sumber kewangan yang dapat memberikan manfaat kepada warga sekolah. Dalam hal ini, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) perlu merancang dan melaksanakan pelbagai program seperti aktiviti amal dan mendapatkan sumbangan daripada pihak tertentu. Malah, pihak Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG)  juga dapat membantu dalam menjayakan sesuatu program yang dirancang oleh pihak sekolah dengan melibatkan diri secara langsung dalam semua program. Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) juga boleh bertindak sebagai penganjur aktiviti-aktiviti kemasyarakatan dengan mengadakan hari kerjaya, forum perdana dan pemeriksaan kesihatan. Namun demikian, terdapat sesetengah ahli Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), khususnya ibu bapa tidak memberikan kerjasama terhadap aktiviti-aktiviti tersebut.

            Sesungguhnya, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dapat membantu pihak sekolah untuk meningkatkan kecemerlangan akademik, sahsiah dan kokurikulum dengan mengambil langkah yang konkrit, sistematik dan pragmatik. Hal ini demikian kerana kejayaan dalam membangunkan modal insan bukan hanya terletak pada bahu pihak sekolah mahupun pihak kerajaan tetapi turut didukung oleh ibu bapa. Oleh itu, usahlah kita memandang enteng akan kewibawaan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).

 

LATIHAN PEMAHAMAN:

 

Berdasarkan petikan di atas, jawab soalan-soalan berikut dengan menggunakan ayat anda sendiri.

 

i. Berikan maksud rangkai kata memandang enteng                                                                       [2 markah]

 

ii. Pengarang mengemukakan beberapa masalah yang dihadapi oleh Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG). Nyatakan masalah-masalah tersebut                                                                                                    [3 markah]

 

iii. pada pendapat anda, apakah langkah-langkah untuk meningkatkan kehadiran ibu bapa dalam Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG)?                                                                                                       [4  markah]

 

No comments:

Post a Comment