Pages

Enjin Carian

Friday, 9 August 2013

Hikayat Langlang Buana


            Inang kepada Tuan Puteri Mandu Ratna Dewi mengatakan bahawa dia bermimpi pada malam sebelumnya dan tuan puteri juga bermimpi perkara yang sama. Inang mengatakan bahawa itulah tandanya tuan puteri akan mendapat jodohnya. Seperti biasa, tuan puteri mengajak inang-inangnya mandi di tasik yang dijaga oleh peri. Peri itu pula memberitahu perkara itu kepada Raja Indera Bumaya dan menyuruhnya supaya bersembunyi untuk melihat tuan puteri itu. Apabila baginda terpandang akan tuan puteri itu, baginda terus tertarik kepadanya.
            Raja Indera Bumaya pun menjadikan dirinya seekor burung bayan yang cantik . Tuan puteri tertarik oleh burung bayan itu dan meminta inangda supaya menangkap burung itu. Namun begitu, semua dayangnya gagal untuk menangkap burung bayan itu hinggalah dayang-dayang menyarankan supaya tuan puteri sendiri yang menangkapnya. Tuan puteri berasa sangat gembira kerana burung bayan itu terus hinggap pada tangan tuan puteri. Burung bayan itu bukan sahaja cantik, malahan pandai berpantun dan berkata-kata serta boleh menukar dirinya menjadi burung nuri dan bunga yang sudah dikarang. Akhirnya, Raja Indera Bumayapun mengembalikan dirinya yang asal dan tuan puteri jatuh cinta kepadanya.  Empat orang menteri dan empat orang hulubalang yang mengawal tuan puteri dari bawah mahligai, menyampaikan berita tentang tuan puteri membawa masuk lelaki ke dalam mahligainya kepada Raja Bahrum Dewa iaitu ayahanda Tuan Puteri Mandu Ratna Dewi. Perkara itu menyebabkan Raja Bahrum Dewa sangat murka dan menitahkan hulubalang serta rakyat mengepung lelaki itu pada malam itu juga.
            Setelah tuan puteri mengetahui berita tentang hulubalang dan rakyat datang ke mahligainya untuk mengepung dan menangkap Raja Indera Bumaya, dia berasa takut dan sedih kerana tidak sanggup berpisah dengannya. Raja Indera Bumaya pun menyeru geliga daripada Raja Johan Shahperi dan keluarlah empat jin yang menyerupai manusia yang lengkap bersenjata untuk menangkis serangan hulubalang dan rakyat Raja Bahrum Dewa. Hulubalang dan rakyat Raja Bahrum Dewa itu gagal untuk menangkap Raja Indera Bumaya. Perkara ini menyebabkan Raja Bahrum Dewa menjadi semakin murka dan menitahkan semua rakyatnya mengepung Raja Indera Bumaya. Perkara itu menyebabkan tuan puteri berasa semakin takut tetapi perkara itu membuktikan cinta dan sayangnya kepada Raja Indera Bumaya. Raja Indera Bumaya kemudiannya menyeru gemala hikmat daripada Raja Johan Shahperi dan keluarlah empat ribu jin yang akan berperang dengan rakyat Raja Bahrum Dewa. Dalam peperangan itu banyaklah darah yang tumpah ke bumi.
WATAK & PERWATAKAN
WATAK
PERWATAKAN
Raja Indera Bumaya
Anak raja dari Negeri Lela Gambar
Bijaksana. Raja Indera Bumaya menjelmakan dirinya sebagai burung bayan agar dia dapat memerhatikan gerak geri Tuan Puteri Mandu Ratna Dewi.
Berani. Raja Indera Bumaya berani duduk bersama-sama Tuan Puteri Mandu Ratna Dewi dalam istananya memadu kasih.
Mempunyai kuasa sakti (bertukar menjadi seekor burung bayan yang cantik) matanya daripada intan, bulunya daripada pusparagam dan kakinya daripada emas.
Gagah perkasa. Raja Indera Bumaya tidak dapat ditangkap oleh hulubalang yang mengepungnya .
Baik budi bahasa. Dia memuji-muji keelokkan paras rupa Tuan Puteri Mandu Ratna Dewi.
Tuan Puteri Mandu Ratna Dewi
Puteri  Raja Bahrum Dewa
Periang. Tuan puteri suka bergurau senda.
Seorang yang cantik. Raja Indera Bumaya terpesona dengan kecantikan Tuan Puteri ketika berbedak dan berlangir
Suka akan binatang. Tuan Puteri terlalu sukacita apabila mendapat burung Bayan
Sangat mencintai kekasihnya.. Tuan Puteri tidak sanggup hidup lagi jika Raja Indera Bumaya mati.
Raja Bahrum Dewa
Seorang raja yang tegas. Dia tidak suka lelaki luar berada bersama-sama puterinya.
Pemarah. Baginda mengarahkan hulubalang mengepung Raja Indera Bumaya yang memadu kasih dengan anakandanya sehingga mencetuskan kemarahannya.
Mengambil berat akan anakandanya. Baginda menganggap perbuatan Tuan Puteri Ratna Dewi yang memadu kasih dengan Raja Indera Bumaya sebagai celaka dan memalukan baginda.
Peri
Penjaga tasik tempat tuan puteri mandi. / Suka menolong orang - menyuruh Raja Indera Bumaya bersembunyi untuk melihat tuan puteri
Inangda
Sentiasa menemani tuan puteri  / Patuh akan arahan tuan puteri - menurut perintah tuan puteri agar menangkap burung bayan.
LATIHAN PEMAHAMAN:
Baca prosa klasik di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.

            Maka Tuan Puteri Mandu Ratna Dewi pun seraya turun dari atas pangkuan Raja Indera Bumaya maka dipegang oleh baginda tangan tuan puteri seraya katanya, “Hai puteri, hendak ke mana tuan puteri pergi? Tiadakah tuan mahu melihat kematian kakanda ini? Adinda nyawa kakanda, dengar juga kata kakanda. Sudah mati kelak baharu tuan kembali pada ayahanda bonda tuan.” Maka tuan puteri pun terkenangkan kasih sayang Raja Indera Bumaya itu. Maka tuan puteri pun makin sangat menangis. Di dalam hatinya, “Sesungguhnya juga matilah Raja Indera Bumaya ini. Aku pun tiada mahu hidup lagi.” Setelah demikian maka orang mengepung  pun makin banyak datang ke bawah mahligai tuan puteri itu. Akan Raja Indera Bumaya itu pun hairanlah serta khayal juga memujuk tuan puteri itu juga. Beberapa kata yang manis-manis dan beberapa pantun dan madah syair. Syahadan beberapa cumbuan berbagai-bagai seraya melembutkan hati  tuan puteri itu.

i.                      Apakah yang dimaksudkan dengan  seraya melembutkan hati ? [2 markah] –lantas berjaya memujuk
ii.                     Bagaimanakah caranya Raja Indera Bumaya menghalang Tuan Puteri Mandu Ratna Dewi daripada pergi meninggalkannya? [ 3 markah] –menyatakan bahawa baginda akan meninggal dunia jika tuan puteri meninggalkannya / menyatakan kasih sayang baginda kepada tuan puteri / menggunakan pantun dan syair untuk memujuk tuan puteri

iii.                    Pada pendapat anda, mengapakah  Raja Indera Bumaya bersungguh-sungguh menghalang pemergian  Tuan Puteri Mandu Ratna Dewi? [3 markah]-  baginda amat menyayangi tuan puteri /  baginda tidak sanggup berpisah dengan tuan puteri  / baginda yakin tuan puteri tidak akan meninggalkannya

No comments:

Post a Comment