Bencana alam sering berlaku di merata-rata. Mangsa bencana telah kehilangan
harta benda dan ahli keluarga. Sebagai negara penyayang,
negara kita menghulurkan bantuan untuk menolong negara yang dilanda bencana
alam.
Huraikan sumbangan yang dapat kita berikan untuk membantu negara yang
dilanda bencana alam.
Kata orang tua-tua;
hidup merupakan gabungan antara bahagia
dan derita. Penderitaan menguji keteguhan iman seseorang. Malangnya mereka yang
terlalu mengikut kehendak hati tidak
sanggup menerima penderitaan. Proklamasi tersebut mengingatkan kita tentang
bencana yang mungkin melanda hidup kita di dunia yang fana ini. Lantaran itu, sedasarwasa ini sering meniti dari bibir ke bibir umat manusia di segenap
empat penjuru dunia ini tentang isu bencana alam yang merupakan fitrah alam yang tidak dapat dihalang.
Fenomena ini persis kata mutiara; geruh
tak berbunyi, malang tidak berbau. Demikianlah, tsunami melanda Jepun pada 11
Mac 2011 telah mengemparkan seluruh dunia. Kita harus bersyukur kerana Malaysia terlepas daripada pelbagai bencana
alam. Oleh itu, kita seharusnya bersimpati dan menghulurkan
bantuan seperti kata peribahasa hulurkan tangan, ringankan beban. Persoalan
yang melanda ruang legar fikiran kita,
apakah bantuan dapat kita hulurkan kepada negara yang terlibat dalam bencana
atau malapetaka?
Sumbangan kewangan merupakan bantuan yang afdal untuk
membantu negara yang dilanda bencana alam. Oleh hal yang demikian, kita harus
menyalurkan bantuan dengan kutipan derma. Badan-badan NGO dan media perlu
menyeru orang ramai. Hal ini kerana mangsa bencana memerlukan dan mendambakan
bantuan kewangan bagi meneruskan kehidupan di alam fana ini. Mangsa bencana
alam yang hidup sehelai sepinggan dan kelaparan memerlukan wang kerana segala
harta mereka telah musnah.
Rencaman peringkat kutipan derma telah dijalankan oleh badan NGO. Sebagai
analogi, Persatuan Bulan Sabit Merah dan pihak berkenaan untuk meringankan
beban mangsa persis kata peribahasa; berat mata memandang,
berat lagi bahu memikul. Jadi, kita
tidak harus lokek atau kedekut dalam menghulurkan sumbangan kerana cubit paha
kiri, paha kanan pun sakit juga agar mangsa bencana dapat pulih seperti sedia
kala.
Bukan itu sahaja, kita juga boleh menghulurkan sumbangan
dalam bentuk tenaga dan kepakaran untuk menyelamatkan mangsa. Tak tumbuh tak
melata, tak sungguh tak kata! Oleh itu, kita perlu menghantar pasukan sukarela
dan pasukan penyelamat yang professional untuk mencari mangsa-mangsa yang
tertimbus dan hilang. Sebagai uswah, ketika tertimbus dalam gempa bumi, setiap
mangsa hanya mempunyai 72 jam untuk diselamatkan. Proses penyelamatan mangsa
memerlukan perancangan yang sistematik, saintifik dan efektif. Misalnya, Pasukan
Gerakan Cepat dan Pasukan SMART mempunyai segala kelengkapan yang canggih dan
kemahiran yang cekap untukmemberi bantuan. Izharnya, sumbangan tenaga
penyelamatan boleh menjadi platform untuk menyalurkan bantuan dalam
melaksanakan usaha murni dengan menyedari kebenaran pepatah bahawa hari tidak
selamanya panas.
Lain daripada itu, bantuan perubatan dan rawatan
kesihatan juga diperlukan. Mengapa dikatakan begitu? Hal ini kerana mereka
memerlukan bantuan ubat-ubatan terutama ubat pelali, vaksin dan sebagainya.
Pasukan perubatan yang terdiri daripada pegawai Jabatan Kesihatan,doktor
jururawat harus dihantar ke negara yang dilanda malapetaka untuk memberikan
rawatan kecemasan. Nasib mangsa seolah-olah sudah jatuh lagi ditimpa tangga
kerana pelbagai penyakaitberjangkit akan merebak selepas bencana alam kerana
mayat bergelimpangan tidak dikebumi dengan baik. Maka, bekalan air bersih turut
tercemar. Lazimnya mangsa bencana akan cirit-birit, demam dan muntah malah sistem
imuniti mereka turut terjejas. Mengikut kajian yang pernah dilakukan didapati
bahawa penyakit taun, kepialu dan batuk kering turut akan menular. Ekoran
daripada peristiwa ini, pasukan perubatan kita perlu mendirikan pusat rawatan
atau hospital sementara untuk menjalankan pembedahan dan memberikan rawatan
kepada mangsa yang sakit atau cedera memandangkan kebanyakan hospital dan
klinik tempatan telah musnah atau sarat dengan pesakit. Memang tidak dapat
dinafikan lagi bahawa kita harus memberikan bantuan perubatan dan rawatan
kesihatan kepada mangsa yang kurang bernasib baik ini.
Bertitik tolak daripada itu, selain keperluan fizikal,
keperluan rohani tidak kurang pentingnya. Lampu Aladdin tidak akan bersinar
dengan sendirinya tetapi Aladdin yang mengosoknya terlebih dahulu. Dengan itu,
pakar psikologi dan ahli kaunseling juga patut dihantar ke Negara yang dilanda
bencana alam. Ghalibnya, mangsa akan menjadi trauma, iaitu sentiasa cemas,
takut dan fikirannya sentiasa bercelaru kerana hidun dalam penderitaan serta
kesedihan akibat kehilangan ahli keluarga yang disayangi. Dalam konteks ini,
bimbingan dan kaunseling perlu disalurkan. Sokongan moral amat dominan untuk
merawat hati mereka yang telah remuk-redam bagai kaca terhempas ke batu.
Justifikasinya, kita harus memberi semangat kepada mereka memperoleh nur
harapan selepas menempuhi dugaan supaya mangsa dapat menghadapi masa depan
dengan penuh keyakinan.
Di samping itu, infrastrutur akan binasa umpama padang jarak, padang terukur kerana sekolah,
hospital, klinik, jalan raya, rumah dan sebagainya telah musnah. Lebih-lebih lagi,
ekonomi lumpuh. Dengan itu, kita perlu menghantar pegawai perancang ekonomi bersama dengan ahli
koporat tempatan untuk menghidupkan aktiviti ekonomi selain merancang pelan induk
pembinaan dan pembangunan sosioekonomi. Sebagai tamsilan, negara kita telah
berjaya mendirikanlebih daripad 3 ribu buah rumah kos rendah yang dilengkapi
dengan pelbagai prasarana di Aceh, Sumatera, Indonesia selepas
dilanda tsunami pada tahun 2004. Jelaslah bahawa bantuan membina prasarana dan
infrastrutur yang rosak patut dihulurkan bantuan oleh negara kita terhadap
mangsa bencana alam.
Secara holistiknya, sebagai makhluk ciptaan Tuhan, semua
umat bagai saudara yang tidak harus dibezakan atas batasan geografi untuk
bantu-membantu dan tidak harus bersikap ego bagai enau dalam belukar,
melepaskan pucuk masing-masing seperti kata orang tua-tua, di sebalik
malapetaka ada hikmahnya. Dengan itu,seluruh dunia memperlihatkan semangat
perikemanusiaan membudayakan sikap tolong-menolong sesame manusia lantaran buat
bail berpada-pada, buat jahat jangan sesekali. Sesungguhnya, seluruh dunia
sepatutnya bermuafakat demi melahirkan dunia utopia yang aman sentosa.
No comments:
Post a Comment