Pelaksanaan dasar 1 Murid 1 Sukan (1M1S) oleh Kementerian Pelajaran Malaysia
merupakan langkah positif untuk melahirkan rakyat yang sihat dan aktif.
Bincangkan pendapat anda tentang
kepentingan pelaksanaan dasar tersebut.
Sukan Untuk Semua dan Sukan
Untuk Kecemerlangan. Slogan tersebut amat sinonim dengan Dasar 1 Murid 1 Sukan
yang mewajibkan setiap murid menyertai
sekurang-kurangnya satu aktiviti sukan di sekolah. Dasar ini menyokong
pelaksanaan Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang berhasrat untuk melahirkan
insan yang seimbang dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani. Dengan dasar
ini, setiap murid akan melibatkan diri secara aktif dengan menyertai aktiviti
sukan sekolah sepanjang tahun. Dasar ini selaras dengan Dasar Sukan Negara
untuk membudayakan sukan dalam kalangan masyarakat dan hendaklah dimulakan di
peringkat sekolah melalui dua strategi iaitu Sukan untuk Semua dan Sukan untuk
Kecemerlangan. Aktiviti sukan di bawah Sukan untuk Semua adalah sangat penting
dalam membina kesihatan, sahsiah dan kesejahteraan semua murid. Bagi Sukan
untuk Kecemerlangan, prestasi murid yang berbakat dan berpotensi hendaklah
terus dibangunkan di bawah Program Kecemerlangan Bakat Muda, Sukan Prestasi
Tinggi Sekolah serta sukan lain yang mampu ditawarkan oleh pihak sekolah kerana
melentur buluh biarlah dari rebungnya. Oleh hal yang demikian, penyertaan
setiap murid dalam sukan amat penting
sebagai satu landasan mendokong aspirasi 1 Malaysia yang sihat, cergas,
dinamik dan bersatu padu. Dasar ini juga selaras dengan hasrat Yang Amat
Berhormat Perdana Menteri dalam mendokong semangat 1 Malaysia . Terdapat pelbagai
kebaikan Dasar 1 Murid 1 Sukan. Perkara ini akan dibincangkan demi kepentingan
bersama. Persoalan yang akan dikupas, apakah
kepentingannya?
Kepentingan
afdal ialah Dasar 1 Murid 1 Sukan berupaya membangunkan modal insan melalui
penyertaan yang menyeluruh dalam kalangan murid dalam kegiatan sukan sepanjang
tahun. Mengapakah dikatakan begitu? Hal ini kerana hala tuju dasar pendidikan
negara kita amat jelas iaitu melahirkan modal insan yang bersahsiah unggul dan
berkeperibadian mulia. Oleh itu, Dasar 1 Murid 1 Sukan secara tidak langsung
dapat membentuk sahsiah, jati diri, disiplin dan nilai murni dalam kalangan
murid-murid di sekolah. Dasar ini bertujuan untuk membangunkan sukan sekolah ke
arah meningkatkan kadar penyertaan murid dalam sekurang-kurangnya satu jenis
sukan di sekolah. Setiap murid termasuk murid berkeperluan khas yang tidak
mengalami masalah kesihatan hendaklah wajib mengambil bahagian dalam
sekurang-kurangnya satu jenis sukan. Sebagai contoh, Dasar 1M 1S
diwajibkan untuk Tahun 4 hingga Tahun 6 di sekolah rendah dan Peralihan,
Tingkatan 1 hingga Tingkatan 6 di sekolah menengah. Walau bagaimanapun
murid-murid prasekolah hingga Tahun 3 digalakkan menyertai program ini
berdasarkan kemampuan sekolah. Hal ini dikatakan demikian kerana kerajaan mahu
membina dan menjana modal insan yang berguna kepada bangsa dan negara melalui
sukan. Tegasnya, modal insan yang syumul dan holistik dapat dilahirkan melalui
dasar ini berlandaskan prinsip asal ditugal adalah benihnya.
Sementelahan,
Dasar 1 Murid 1 Sukan dapat memupuk budaya bersukan dalam kalangan murid
sekolah agar menjadi ahli masyarakat yang mengamalkan gaya hidup sihat dan cergas kerana badan
sihat otak cerdas. Hal ini kerana aktiviti sukan berupaya meningkatkan
kecergasan jasmani seseorang dan memenuhi naluri semula jadi murid dalam
aktiviti fizikal. Hal ini dikatakan demikian kerana kerajaan sedar semakin
banyak rakyat Malaysia
yang mengabaikan sukan dalam kehidupan lantaran terlalu sibuk dengan urusan
seharian. Akibatnya, bilangan rakyat Malaysia
yang menghidap masalah kegemukan dan obesiti semakin meningkat saban tahun.
Senario ini amat merugikan kerana golongan ini biasanya tidak aktif dan
menghidap pelbagai penyakit yang berbahaya kepada diri mereka. Menurut satu
kajian yang telah dilakukan, pada tahun 2011, dilaporkan rakyat Malaysia merupakan golongan terbanyak mengidap
obesiti dalam kalangan rakyat di negara-negara ASEAN dan yang keenam di Asia . Oleh sebab itu, tindakan kerajaan memperkenalkan
Dasar 1 Murid 1 Sukan memang tepat pada masanya dalam usaha membentuk
masyarakat Malaysia
yang cergas dan cerdas sepanjang masa. Izharlah bahawa amalan gaya hidup sihat dapat dipupuk melalui dasar
ini.
Seperkara lagi, jika kita
singkap daripada perspektif yang
berbeza, Dasar 1 Murid 1 Sukan berupaya untuk memupuk perpaduan antara kaum
dalam kalangan masyarakat majmuk di Malaysia . Tak tumbuh tak melata,
tak sungguh orang tak kata! Hal ini demikian, perpaduan merupakan kunci
kejayaan Malaysia
hingga dikenali di peringkat antarabangsa. Malaysia sentiasa dijadikan contoh
kepada negara-negara lain di dunia ini kerana kejayaannya membentuk perpaduan
dalam kalangan masyarakat majmuk selama 55 tahun kebelakangan ini. Kerajaan
sedar bahawa rakyat tidak harus alpa akan kepentingan perpaduan untuk membina
sebuah negara Malaysia
yang berjaya dan harmoni. Indikator terbaik ke arah itu adalah melalui sukan.
Semangat kerjasama dan bertolenransi amatlah penting dalam menjayakan sesuatu
aktiviti sukan. Secara analoginya, semua ahli sukan mesti bersatu padu untuk
menjadi juara tanpa mengira warna kulit, bangsa, dan agama. Tambahan pula, rakyat
pelbagai kaum akan dipertemukan dan bergaul sesama mereka semasa menjalani
aktiviti sukan. Dengan ini mereka akan memahami budaya dan cara hidup kaum
lain. Sudah terang lagi bersuluh, Dasar 1 Murid 1 Sukan amatlah penting untuk
memupuk perpaduan dan menyemai semangat bagai isi dengan kuku dalam kalangan
rakyat Malaysia .
Bukan itu
sahaja, Dasar 1 Murid 1 Sukan dapat memberikan keseimbangan antara keperluan
akademik dengan keperluan fizikal. Hal ini demikian, dasar ini boleh memberikan
akses kepada semua murid mendapatkan faedah daripada penglibatan dalam sukan
khususnya kepada murid yang kurang atau tidak aktif. Murid-murid pada zaman ini
lebih cenderung menjadi ulat buku kerana terlalu mementingkan kecemerlangan
dalam bidang akademik. Mereka beranggapan bahawa aktiviti sukan hanyalah
membuang masa mereka sahaja. Persepsi seperti itu perlu dikikis daripada kamus kehidupan mereka kerana mereka perlu
memperuntukkan masa untuk melakukan kecergasan fizikal seperti bermain bola
sepak, berenang, menyertai acara balapan dan sebagainya demi kebaikan mereka.
Kata orang, otak yang sihat datang daripada badan yang cergas. Dengan memiliki badan yang
sihat, murid-murid dapat fokus pada pelajaran mereka. Mereka dapat menjana idea
yang bernas dan mampu berfikir secara kreatif dan kritis. Secara implisitnya,
murid akan beroleh kejayaan dalam bidang akademik mereka. Pendek kata, murid
dapat mencapai keseimbangan antara kejayaan akademik dengan kejayaan sukan
melalui Dasar 1 Murid 1 Sukan yang diperkenalkan ini oleh sebab kalau tidak
dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya.
Pada masa yang sama,
Dasar 1 Murid 1 Sukan juga berupaya untuk mewujudkan landasan ke arah
kecemerlangan sukan. Dasar ini memberikan peluang kepada semua murid yang
berbakat dan berpotensi untuk digilap ke tahap yang lebih tinggi. Memang benar
kata orang; asal ditugal adalah benihnya, justeru murid boleh menyertai lebih
daripada satu sukan mengikut kemampuan
dan sukan yang ditawarkan oleh sekolah atau yang dijalankan dengan pengetahuan
dan persetujuan pihak sekolah. Pada masa ini, sukan merupakan salah satu
aktiviti penting. Ahli-ahli sukan yang berjaya akan dikenali di seluruh dunia.
Mereka disanjung dan dipuja serta mampu meraih pendapatan berjuta-juta ringgit.
Mereka bukan sahaja mampu menyumbang kepada pendapatan negara malahan menjadi
duta kecil untuk menaikkan imej negara di persada antarabangsa. Kejayaan
beberapa orang ahli sukan negara kita, contohnya Datuk Nicol Ann David, Datuk
Lee Chong Wee, dan sebagainya dalam bidang sukan seharusnya
diteruskan.Sesungguhnya, usaha untuk memartabatkan arena sukan negara ke
persada antarabangsa dengan kelahiran jaguh sukan negara yang digeruni dapat
dicapai menerusi dasar ini.
Bulan semakin
terang, bayang kian jelas bahawa Dasar 1 Murid 1 Sukan banyak membawa
kemaslahatan kepada murid-murid di negara kita. Oleh itu, semua pihak harus
memberikan galakan kepada murid-murid sekolah untuk menyertai semua aktiviti
sukan yang dikelolakan oleh pihak sekolah berkaitan dengan Dasar 1 Murid 1
Sukan. Dalam pada itu, pihak sekolah pula haruslah melaksanakan Dasar 1 Murid 1
Sukan dengan sempurna agar segala matlamat dan objektif yang ditetapkan akan
tercapai. Pihak sekolah tidak harus bersikap sambalewa atau sekadar melepaskan
batuk di tangga. Namun begitu, sokongan daripada ibu bapa juga penting untuk
menjayakan dasar ini kerana bertepuk sebelah tangan takkan berbunyi.
Mudah-mudahan, hasrat kita untuk melahirkan modal insan yang cemerlang, gemilang,
dan terbilang dalam sukan akan menjadi realiti dan bukannya angan-angan Mat
Jenin. Biarlah matahari terus bersinar, biarlah
pepohon terus menghijau dan biarlah sukan di Malaysia
terus maju untuk bersaing di peringkat global agar Malaysia dapat duduk sama rendah,
berdiri sama tinggi dengan negara-negara lain di persada antarabangsa.
No comments:
Post a Comment