Tuesday, 6 August 2013

Dimensi Masyarakat


Langkah-langkah untuk Menggalakkan Anggota Masyarakat Menggunakan Pengangkutan Awam
Zaman beralih, musim bertukar.  Setelah tamat penjajahan asing selama 446 tahun yang telah lama menghantui rakyat, Malaysia telah menjejakkan kaki ke satu ambang yang rancak sekali. Untuk menyesuaikan diri dalam mata dunia dan memenuhi kehendak rakyat, Malaysia telah mengalami pelbagai anjakan paradigma, kerajaan telah berusaha menyediakan prasarana yang mencukupi untuk memastikan sistem pengangkutan awam berjalan lancar. Rangkaian pengangkutan awam di negara kita boleh dikategorikan sebagai pengangkutan bas, teksi, Sistem Transit Tren Ringan (LRT), Keretapi Tanah Melayu (KTM) dan monorel. Prasarana ini dimajukan agar negara kita duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan negara-negara atas angina. Jikalau bukan kita yang sebagai warganegara Malaysia menyokong pengangkutan awam, siapakah lagi yang akan menyokonnyag? Lantaran itu, langkah-langkah yang proaktif dan drastik hendaklah diimplementasikan  untuk menggalakkan rakyat menggunakan pengangkutan awam. Pokok soalannya, apakah langkah-langkah yang perlu digemblengkan?
Menurut satu kajian yang dibuat dalam kalangan rakyat, banyak rakyat mengatakan bahawa kepelbagaian sistem tiket untuk menggunakan rangkaian perkhidmatan awam yang berlainan telah mengurangkan minat mereka untuk bergerak dari tempat asal ke  destinasi dengan penukaran rangkaian perkhidmatan awam. Oleh itu, kerajaan haruslah melaksanakan sistem tiket bersepadu yang dapat menggalakkan orang ramai untuk menggunakan pengangkutan awam. Kerajaan haruslah menubuhkan sebuah Lembaga Pengangkutan Awam (PTA) untuk menguruskan pengangkutan di negara kita. Badan tersebut dapat mempercepat proses perlaksanaan sistem tiket bersepadu yang masih dalam peringkat kajian. Selain itu, kerajaan juga harus mengambil contoh negara barat seperti Melbourne, di negara Melborune penumpang hanya perlu membeli satu tiket untuk menaiki kereta api dan bas. Seperti kata peribahasa serampang dua mata, pendekataan ini bukan sahaja dapat menjimatkan wang tetapi juga dapat memudahkan rakyat untuk mengatur pejalanan laluan. Jikalau sistem tiket bersepadu direalisasikan, jumlah penumpang pastilah dapat mencapai sasaran yang telah diramalkan oleh pengendali. Jelaslah bahawa inisiatif tersebut merupakan usaha dominan dalam menggalakkan anggota masyarakat menggunakan pengangkutan awam.
Sementelahan, langkah seterusnya yang dapat menarik perhatian rakyat untuk menaiki pengangkutan awam adalah dengan meningkatkan kuantiti dan kualiti pengangkutan awam. Mengapakah langkah tersebut perlu dilaksanakan? Hal ini oleh sebab bilangan kereta api atau bas awam haruslah dipertingkatkan bagi memenuhi kehendak rakyat. Selain itu, KTM negara kita haruslah mencontohi perkhidmatan kereta api di Jepun yang menggunakan kuasa elektrik seprti shinkansen (bullet train). Dengan menggunakan lokomotif kuasa elektrik, kekerapan KTM di negara kita pasti dapat meningkatkan. Kekerapan pengangkutan awam adalah salah satu unsur untuk menarik perhatian penumpang terutamanya mereka yang memandu kereta atau menunggang motosikal. Dengan kekerapan pengangkutan yang tinggi, penumpang tidak akan membazirkan masa untuk menunggu komuter kerana masa itu umpama pedang; jika kita tidak memancungnya, ia akan memancung kita.  Hal ini dapat mengurangkan masa perjalanan keseluruhan. Dalam era globalisasi yang mengutamakan kepantasan, kekurangan dalam kekerapan pengangkutan awam akan merumitkan kehidupan masyarakat dan menyebabkan mereka kurang keyakinan terhadap pengakutan awam. Lantaran itu, cara ini haruslah dilaksanakan untuk menarik keyakinan rakyat terhadap pengangkutan awam.
Selain itu, langkah memasang televisyen dalam bas awam yang dijalankan oleh kerajaan mendapat banyak komen yang baik dan diberi pujian kerana langkah ini dapat menghiburkan rakyat dalam perjalanan mereka. Hal ini demikian, para penumpang berpeluang untuk menonton siaran televisyen ketika berada dalam perjalanan mereka. Sebagai analoginya, prakasa ini haruslah diperluas  dalam pengangkutan awam seperti Komuter dan LRT untuk menarik lebih banyak penumpang untuk menaiki pengangkutan awam. Selain menghiburkan para penumpang ketika dalam perjalanan, siaran televisyen juga mampu menyemarakkan  patriotisme dalam kalangan masyarakat dengan menyiarkan rancangan cinta akan negara, rancangan mengimbas kembali detik-detik sejarah negara dan sebagainya. Selain rancangan sebegini, program lain seperti berita, laporan cuaca, perkembangan sukan, maklumat kewangan juga harus disiarkan supaya rakyat dapat mendapat informasi yang terbaharu dan meningkatkan pengetahuan dalam perjalanan mereka. Hal ini pasti dapat meningkatkan bilangan penumpang pengangkutan awam kerana langkah ini telah memenuhi tabiat rakyat Malaysia yang ingin mendapatkan perkhidmatan yang berkualiti tinggi dengan banyaran yang minimum. Manisfestasinya, langkah memasang televisyen memang dapat menarik perhatian para penumpang kerana di mana ada kemahuan di situ ada jalan.
Seperkara lagi, persis kata peribahasa Melayu yang berbunyi melentur buluh biarlah dari rebungnya, pendidikan sejak kecil juga merupakan salah satu langkah untuk menggalakkan rakyat tempatan menaiki pengangkutan awam. Oleh itu, [ihak sekolah dicadangkan supaya memberi pelajaran tentang kebaikan-kebaikan menggunakan perkhidmatan awam dan keselamatan menggunakan pengangkutan awam supaya dapat menanam konsep yang mendalam kepada fikiran pelajar supaya menaiki perkhidmatan awam lebih baik daripada menggunakan kenderaan sendiri. Usaha ini bukan sahaja diterapkan kepada pelajar yang kecil, tetapi juga  kepada mereka yang dewasa untuk mengubah imej buruk yang mendalam  dalam hati mereka. Mengikut kajian yang pernah dilakukan, melalui pendidikan, kita dapat menghasilkan golongan yang bergantung pada perkhidmatan kereta api sebagai pengangkutan utama mereka.Hal ini dapat meningkatkan bilangan penumpang yang menaiki pengangkutan awam. Walaupun mereka memiliki kenderaan sendiri, tetapi mereka tetap akan menggunakan perkhidmatan awam seperti kereta api sebagai pengangkutan utama mereka jika konsep kebaikan pengangkutan awam ditanam mendalam kepada mereka.Justifikasinya, langkah tersebut perlu dilaksanakan memandangkan keberkesanannya.
Pendek kata, pengangkutan awam banyak membawa kemaslahatan seperti mengurangkan jarak perjalanan, menghematkan masa, mempercepat operasi penghantaran barangan ke sesuatu destinasi dan sebagainya kepada kita. Dengan itu, pemodenan sistem perhubungan darat merupakan inovasi yang penting ke arah mewujudkan mobilisasi sumber tenaga manuasia pada tahap yang paling optimum. Lantaran itu, kita harus menyokong usaha-usaha yang diambil oleh kerajaan dalam meningkatkan penumpang yang menaiki pengangkutan awam. Sekiranya semua pihak berpadu kudrat pasti langkah-langkah yang dibincangkan di atas akan menjadi realiti. Tiada perkara yang mustahil sekiranya kita berpegang pada prinsip hati hendak semua jadi.

No comments:

Post a Comment