Peranan Ibu Bapa dalam Mengatasi
Masalah Sosial
Remaja,
Ingatlah
masa depanmu,
Kenanglah,
Jasa
ibu dan ayahmu,
Lirik lagu di atas cukup jelas memanifestasikan satu mesej kepada para remaja
supaya sentiasa menghargai ibu dan bapa mereka. Umum mengetahui, para remaja
marcapada ini terlalu lalai dan leka dibuai arus modenisasi. Penglibatan mereka
dalam delinkuen social sudah menjadi buah mulut dan mauduk utama perbualan
orang mutakhir ini. Jadi, ibu bapa dilihat sebagai satu komponen paling utama
malah turut dianggap formula yang cukup mujarab bagi mengatasi masalah dalam
kalangan remaja.
Pertama, ibu bapa perlu menghulurkan kasih sayang yang tidak berbelah bahagi
kepada anak-anak. Hal ini dikatakan demikian kerana remaja merupakan golongan
yang sangat menginginkan perhatian. Naluri mereka yang mudah memberontak sudah
pasti dapat ditenangkan menerusi perasaan cinta ibu bapa terhadap anak-anak.
Api kemarahan dan benteng keegoan yang menebal di dada mereka pasti mudah
diruntuhkan dengan kasih sayang ibarat menatang minyak yang penuh kepada
anak-anak. Andai kata remaja ketandusan kasih sayang, sudah pasti mereka akan
mecari haluan lain untuk melepaskan diri dari kepompong ketidakselesaan.
Natijahnya, mereka akan mula berjinak-jinak dengan najis dadah dan tidak
mustahil akan terjerumus dalam kancah kemaksiatan. Berdasarkan statistik yang
dikeluarkan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, kadar remaja lari dari rumah kian
meningkat sebanyak 5.7 peratus dari tahun 2007 ke 2008. Jadi, sebelum nasi
sudah menjadi bubur, ibu bapa perlu mengutamakan anak-anak mereka berbanding
hal-hal lain.
Selain itu, ibu bapa juga perlu meluangkan masa bersama anak-anak. Hal ini
cukup bertepatan dengan langkah Kementerian Pembangunan Keluarga, Wanita dan
Masyarakat yang telah mengisytiharkan cuti pada hari Sabtu dan Ahad kepada
semua pegawai kerajaan. Perkara ini cukup membuktikan keprihatinan kerajaan Malaysia
dalam menyediakan ruang dan peluang kepada ibu bapa untuk bersama anak-anak.
Percayalah, anak-anak akan berasa lebih dihargai apabila ibu bapa menghabiskan
masa berkualiti bersama mereka. Tamsilannya, ibu bapa boleh membawa anak-anak
melancong, beriadah bersama-sama malahan menjalankan aktiviti kerohanian secara
berjemaah. Melihat kepada senario masyarakat kontemporari, ibu bapa lebih
cenderung untuk mengejar materialistik dan menjadikan pejabat sebagai rumah
kedua mereka. Sikap ibarat enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing
ini perlu dikikis segera bagi memastikan para remaja tidak terlibat dalam
gejala sosial. Maka, jelaslah anak-anak remaja perlu dijadikan prioriti utama
dalam usaha membendung kemelut ini.
Di samping itu, ibu bapa perlu menyediakan pendidikan yang secukupnya kepada
anak-anak. Pendidikan ini merangkumi pendidikan formal mahupun pendidikan tidak
formal. Tindakan kerajaan Malaysia
mewajibkan keseluruhan kanak-kanak di negara ini mendapat pendidikan di sekolah
amatlah wajar dan perlu disokong. Sehubungan dengan itu, ibu bapa perlulah
memastikan anak-anak mereka memperoleh pendidikan sewajarnya, selari dengan
Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Sementelahan itu, ibu bapa juga perlu
menerapkan pendidikan berbentuk tidak formal kepada anak-anak. Pengajaran
ilmu-ilmu agama dan nilai-nilai murni selaras dengan norma masyarakat pada hari
ini amat penting bagi memastikan kerohanian yang mantap dalam diri anak-anak.
Ingatlah, “segala-galanya bermula di rumah”. Begitulah ungkapan kalimah tokoh
filsuf terkenal, Franklin D. Roosevelt. Maka, ibu bapalah yang bertindak
sebagai agen pencorak utama karakter anak-anak agar mereka tidak mencetuskan
cangkaliwang pada hari muka. Justeru, penerapan pendidikan yang sempurna pasti
dapat menangani masalah ini.
Seterusnya,
ibu bapa perlu mengawasi perilaku anak-anak. Peribahasa Melayu ada menyebut,”
kalau tiada angin masakan pokok akan bergoyang”. Setiap perbuatan yang
dilakukan oleh anak-anak pasti ada penyebabnya. Sehubungan dengan itu, adalah
menjadi tanggungjawab ibu bapa untuk sentiasa mengikuti perkembangan diri
anak-anak remaja mereka. Pergaulan bebas anatara lelaki dan perempuan sudah
sinonim dengan masyarakat. Seluar ketat, baju singkat hingga menampakkan pusat
ibarat suatu adat. Maka, di sinilah ibu bapa perlu memainkan peranannya iaitu
meninjau perubahan sikap anak-anak mereka. Serbuan pihak polis di kota metropolitan Kuala Lumpur
iaitu di kelab-kelab malam di sana
mendapati hampir 15 peratus anak-anak remaja di bawah umur ditahan positif
dadah. Perkara ini jelas menunjukkan andai ibu bapa membiarkan anak-anak mereka
tanpa tempat bergantung, mereka akan mudah terlibat dalam kebejatan sosial pada
masa ini. Maka, ibu bapa perlu bertindak proaktif dan pragmatik dalam usaha
membasmi gejala sosial dalam kalangan anak-anak remaja.
Akhir sekali, ibu bapa perlu melengkapkan keperluan asas anak-anak. Sekali air
bah, sekali pantai berubah. Begitu juga dengan perkembangan dunia yang kian
ekstrem menjengah kita. Oleh itu, dalam kita mengharung arus modenisasi, sudah
tentu anak remaja tidak mahu dihimpit dengan ketidakselesaan dan pemikiran yang
jumud. Maka, sebagai ibu bapa, mereka perlu menyediakan keperluan asas
anak-anak bagi menjamin keselesaan. Tempat tinggal yang kondusif, pakaian yang
bersesuaian serta makanan dan minuman yang berkhasiat perlu disediakan. Hal ini
amat penting bagi memastikan anak-anak berasa seronok berada di rumah lantas
tidak terlibat dalam gejala sosial. Berdasarkan kajian yang dilakukan oleh
sekumpulan mahasiswa Fakulti Sains Kemasyarakatan, Universiti Malaya ,
anak-anak remaja daripada golongan miskin lebih cenderung untuk terlibat dalam
penagihan najis dadah. Hal ini pastinya akan dapat dibendung andai segala
keperluan asas remaja dilengkapkan walaupun ibu bapa tidak melambakkan
kemewahan kepada mereka.
Intihanya, ibu bapa perlu memantapkan kemahiran keibubapaan mereka lagi dalam
mendidik anak-anak. Contohilah ketokohan Luqmanul Hakim yang cukup hebat
mendidik anak-anaknya berorientasikan Al-quran dan al-Hadis. Kita tidak mahu
remaja-remaja yang bobrok dan kaya dengan pidana dihasilkan. Sebaliknya, kita
inginkan barisan remaja yang berkaliber, cukup syumul dan utopia hasil didikan
kedua-dua ibu bapa mereka. Marilah kita berubah, “sebelum padi di tangan
menjadi lalang” dan “ayam ditambat disambar helang”, ayuhlah ibu bapa,
berkorbanlah demi masa depan anak-anak tercinta.
Berkorban
apa sahaja,
Harta
ataupun nyawa,
Itulah
kasih mesra,
Sejati
dan mulia.
Ingatlah,
ibu bapa cemerlang, anak-anak gemilang!
No comments:
Post a Comment