Sebagai pelajar yang telah
berjaya, anda ingin merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada sekolah dan
guru-guru yang mendidik anda.
Tulis teks ucapan untuk
melahirkan perasaan anda itu.
Salam
sejahtera dan selamat pagi kepada yang saya hormati Puan Pengacara
Majlis, Yang Berusaha Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Puri , Puan
Renny Zack, para guru dan seterusnya rakan-rakan yang
dikasihi sekalian.
Atas
limpah kurnia Tuhan yang Maha Pemurah lagi Pengasih, saya melafazkan kesyukuran
kerana dengan izin-Nya kita dapat berjumpa dalam majlis yang amat besar ertinya
kepada warga Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Puri. Kita sangat bertuah dan
bersyukur kerana di sekolah inilah tempat kita belajar, bermain, berkawan,
bermesra dengan para guru dan seterusnya melakarkan kejayaan.
Hadirin sekalian,
Air jernih genang-genangan,
alir deras jernih di hulu.
Tempat jatuh lagi dikenang,
inikan pula tempat menimba ilmu.
Pantun
di atas saya dedikasikan untuk para guru dan khususnya untuk Sekolah Menengah Kebangsaan
Bandar Puri yang telah banyak menabur budi kepada saya dan saudara saudari.
Istimewa pula, pada hari yang bertuah ini, kita diraikan sekali lagi kerana
mencapai kejayaan yang cemerlang dalam peperiksaan SPM.
Hadirin sekalian,
Sebelum
menelusuri lebih jauh, saya terlebih dahulu mengambil peluang untuk mengimbau
semula sejarah lima tahun yang silam ketika saya dan rakan-rakan mendaftarkan
diri di sekolah ini. Sebagai pelajar baru, kita seolah-olah rusa masuk kampung
semasa pertama kali melepasi pintu pagar sekolah. Pelbagai perasaan berbaur
dalam benak fikiran tentang alam persekolahan menengah yang bakal kita tempuhi.
Perasaan gerun, seronok, dan cemas bertukar ganti mengusik emosi. Maklumlah,
pada waktu itu kita dikelilingi oleh pelajar-pelajar yang lebih senior dan ada
dalam kalangan mereka yang bertubuh gempal dan sasa. Malahan perkara yang lebih
rumit lagi, sesama kita pun belum kenal antara satu sama lain. Namun begitu,
semua perasaan tersebut tidak lama berada dalam minda apabila para guru yang
cukup berdedikasi dan penyayang telah membimbing kita. Atas keramahan dan manis
muka para guru dan rakan-rakan senior, kita meniti hari-hari berlalu tanpa
disedari. Natijahnya, sekarang kita telah menjadi sebahagian daripada insan
bertuah yang diraikan oleh phak sekolah atas kejayaan cemerlang dalam
peperiksaan SPM yang lalu.
Para pendidik yang dihormati
sekalian,
Syukur kepada Tuhan, tiada kalimah
seindah madah untuk saya lafazkan atas kejayaan meraih keputusan paling
cemerlang yang saya peroleh. Memang benar, rajin dan usaha tangga kejayaan.
Namun apa-apapun, kejayaan meraih 9 1A
yang terpampang di hadapan mata bukanlah perkara gampang. Sebaliknya,
tanpa usaha dan komitmen yang cukup dedikasi daripada para pendidik dan
pengurusan sekolah, kejayaan yang berada dalam tangan saya dan rakan-rakan
adalah suatu misi yang mustahil. Kami cukup yakin, setitis liur basah yang
terpercik daripada lidah seorang pendidik adalah sumber yang menjadi mutiara
ilmu. Terima kasih cikgu! Sesungguhnya, jasamu akan kami kenangi bak seluas
lautan yang tidak bertepian .
Rakan-rakan sekalian,
Selama lima tahun kita menimba ilmu
di sini, bukan perihal akademik sahaja yang menjadi agenda pihak sekolah,
malahan pembinaan sahsiah dan jati diri turut dirancang. Kita dididik menjadi
insan serba boleh dalam bidang kurikulum, kokurikulum, pemantapan rohani serta
bermotivasi. Pelbagai program kecemerlangan sama ada yang berunsurkan akademik
mahupun kokurikulum telah berjaya membentuk diri kita menjadi insan yang hebat
dan cemerlang. Betapa tidak, sekolah ini adalah antara yang tersohor dalam
kalangan institusi menengah di negeri ini. Kita cemerlang dalam setiap
peperiksaan awam, kita hebat dalam beberapa acara sukan serta kita amat digeruni
dalam beberapa pertandingan koakademik seperti pidato, koir, dan persembahan
kebudayaan. Pendek kata, kita telah membuktikan kemampuan untuk menjadi insan
yang seimbang. Sememangnya, semua
kejayaan tersebut tidak lain dan tidak bukan kerana guru-guru yang amat
dedikasi yang berada di hadapan kita.
Hadirin sekalian,
Bercakap bagi pihak diri saya
sendiri, perasaan gembira, terharu dan bangga masih belum mampu saya lahirkan
sama ada dalam bentuk kata-kata mahupun tingkah laku. Tanpa dibatasi oleh
apa-apa sempadan, saya menganggap guru-guru sebagai ibu dan ayah kepada saya.
Mereka menyuluhi saya sinar hari depan yang meyakinkan. Mereka amat penyayang
dan mereka amat prihatin. Saya percaya walaupun setinggi langit tangan menyapu
awan, saya tidak mampu menoleh pandang melainkan Sekolah Menengah Kebangsaan
Bandar Puri tetap di hati dan pasti kekal abadi mencipta sejarah. Izinkan saya
mengambil segala inspirasi yang tuan-tuan dan puan-puan telah ilhamkan
sepanjang mendidik saya. Saya bertekad untuk membalas budi anda dengan membawa
balik kejayaan yang lebih cemerlang. Maka dengan itu saya berjanji, demi anak
nusa yang terdidik sempurna di sini, tidak sama sekali-kali berlaku kacang
melupakan kulit sebaliknya tidak jauh seluang melaut akhirnya balik juga ke
muara.
Rakan-rakan yang dikasihi
sekalian,
Diri kita ibarat setinggi-tinggi
terbang bangau hinggap semula di belakang kerbau. Janganlah terjadi, daun
melayang jauh perdu dilupakan. Pada kesempatan ini, saya menyeru rakan-rakan
yang bersama-sama mencipta kecemerlangan di sini agar menyimpan iltizam untuk
kembali kepada ibu kandung bagi menabur khidmat dan bakti. Ayuh, masa kita di
sini sudah tamat dan kita buka episod baru untuk melanjutkan pelajaran ke
peringkat yang lebih tinggi. Yang penting kepada kita, jangan sekali-kali kita
pergi sehingga melupakan tempat jatuh bangun di sini kerana, “Tempat jatuh lagi
dikenang, inikan pula tempat menimba ilmu”. Setelah mencapai kejayaan di
peringkat yang lebih tinggi sentiasalah kembali menjenguk sekolah yang telah mencipta
sejarah cemerlang kita. Lantaran itu, ingitlah pesan peribahasa, daun boleh
melayang jauh, tetapi getah tetap mengalir ke perdu.
Hadirin sekalian,
Berat hati dan longlai langkah untuk
saya pergi meninggalkan sekolah ini. Lipatan sejarah yang telah ternukil
sepanjang dididik di sini terus menjadi usikan kenangan. Insya-Allah selagi
hayat dikandung badan, budi para pendidik tetap dikenang bak budi setahun
segunung intan. Saya berdoa semoga Tuhan mencurahkan rahmat dan keberkatan
kepada tuan-tuan dan puan-puan agar terus berdedikasi dalam mendidik anak-anak
nusa. Sebagai penutup wacana, saya
abadikan serangkap pantun;
Burung terbang melintas sempadan,
terbang menuju muara segara.
Biar jauh berbilang lautan,
sebutir katamu menjadi mutiara.
Sekian terima kasih.
No comments:
Post a Comment