PERANAN SAYA DALAM MEMANFAATKAN FAEDAH
LAMAN SOSIAL.
Pada era perindustrian yang serba mencabar akal dan minda kita, isu
berkaitan laman sosial sering dipolemikkan di warung-warung kopi mahupun di
parlimen. Laman sosial menjadi wahana penting dalam kehidupan seharian mereka
memandangkan masyarakat yang tua mahupun yang muda tertarik dengan laman
sesawang ini. Perumpamaan hubungan manusia dengan laman sosial bagaikan
lagu dan irama yang tidak dapat dipisahkan. Begitulah sebahagian lirik
lagu yang pernah dipopularkan oleh P. Ramlee suatu ketika dahulu.
Tambahan pula, dalam dunia yang dilingkari sains dan teknologi, laman
sosial makin menjadi kegilaan masyarakat kini terutamanya remaja sehingga
sanggup menghabiskan masa berjam-jam di depan komputer semata-mata untuk
melayari laman sosial. Antara laman sosial yang sering menjadi pilihan pengguna
di internet ialah ’Facebook’ , ’Wechat’ , ’Line’ , ’Instagram’ dan sebagainya.
Manakala laman sosial ’Facebook’ merupakan laman sosial yang mendapat tempat di
hati masyarakat kini. Statistik yang sahih menunjukkan bahawa terdapat 1.5 juta
orang yang melayari ’Facebook’ dalam sehari. Oleh hal yang demikian, peranan
saya dalam memastikan laman sosial memberikan pelbagai faedah kepada saya yang
menjadi fokus perbincangan saya pada hari ini akan dihuraikan dan dikupaskan
secara terperinci demi kebaikan kita bersama.
Sebagai pembuka mukadimah pembicara, saya ingin melontarkan
peranan saya dalam memastikan laman sosial tersebut memberikan pelbagai faedah
kepada saya. Namun begitu, apakah yang hendak saya lakukan untuk memastikan
saya memperoleh kebaikan bukannya keburukan semasa melayari laman sosial?
Dalam meninjau ranjau dunia yang serba rencam ini, pelbagai jenayah
sosial telah meningkat dari hari ke hari akibat ketiadaan kawalan di laman sosial
di samping dek iman yang tidak mantap. Oleh hal yang demikian, saya
memanfaatkan laman sosial ini dengan mencari bahan-bahan bacaan yang saya
perlukan sahaja. Memang tidak dapat dinafikan bahawa laman sosial merupakan
sumber hebahan yang terkini dan tercepat. Melalui laman sosial, saya
dapat mengetahui perkembangan dari luar negara dan perkembangan isu-isu
mutakhir yang menjadi tajuk utama akhbar harian di negara kita, Malaysia.
Tidaklah saya menjadi seperti katak di bawah tempurung. Laman sosial merupakan
wadah yang terpenting untuk mendedahkan kita dengan isu-isu semasa termasuklah
isu politik, sosial dan ekonomi. Sebagai pelajar yang dahaga akan ilmu
pengetahuan dan pelajar yang bakal menduduki Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM),
saya dapat menambah ilmu pengetahuan saya melalui penggunaan laman sosial.
Sebagai analoginya, saya dapat mengakses sumber bacaan daripada laman sosial.
Selain itu, saya tidak perlu ke perpustakaan untuk mencari maklumat. Bahan
bacaan di laman sosial merangkumi ilmu pengetahuan yang tidak dapat dicari di
dalam sillibus sekolah. Oleh hal yang demikian, laman sosial merupakan saluran
utama saya memperoleh ilmu pengetahuan di luar bilik darjah dalam menjalani
kehidupan saya sebagai seorang yang dahagakan ilmu pengetahuan.
Pada realitinya, laman sosial merupakan platform penting dalam
kehidupan seharian kita memandangkan laman sosial memberikan kesan yang
mendalam dan mempengaruhi corak kehidupan kita. Melalui laman sosial,
saya dapat berkenalan dengan kawan-kawan di alam maya tanpa dibatasi oleh
sempadan negara, agama, dan bangsa. Saya dapat memahami dan mengetahui
budaya masyarakat luar dengan hanya satu klik sahaja. Rentetan daripada situasi
tersebut, semangat perpaduan dan semangat cinta akan negara dapat disuntik
dalam diri saya. Persefahaman antara kaum juga dapat dipupuk dalam diri kita.
Melalui penggunaan laman sosial, saya dapat bertukar-tukar pendapat dan
berkongsi pengalaman saya dengan rakan tersebut. Contoh yang paling dekat
ialah saya dapat memuatkan foto-foto apabila menghadiri sesuatu majlis yang
melibatkan pelbagai kaum. Dengan ini, rakan saya dapat memahami budaya di
negara saya. Adat istiadat dan pantang larang ini masih diamalkan oleh
semua lapisan masyarakat seperti orang Melayu, Cina dan India, bak mutiara kata
tak lekang dek panas, tak lapuk dek hujan. Bagi mereka, biar mati anak, jangan
mati adat. Orang Melayu terkenal dengan baju kurung, manakala orang Cina
dan orang India termashyur dengan Ceongsam dan Sari. Namun begitu, kita hendaklah
berhati-hati semasa berkenalan. Hal ini demikian kerana kita mungkin akan
tertipu oleh mereka yang tidak bertanggungjawab untuk memaklumkan butir-butir
peribadi sendiri dan kata laluan. Sebagai contoh, saya tidak bersua muka dengan
kenalan di alam maya untuk menjaga keselamatan sendiri. Terdapat segelintir
masyarakat terutamanya remaja perempuan berjanji dengan kenalan di internet
untuk berjumpa di sesuatu tempat. Hal ini memberikan peluang keemasan kepada
penjenayah untuk melakukan gejala sosial seperti rogol.
Semakin menjelang ambang 2020, titik permulaan ini menandakan
permulaan untuk kesusahan dan cabaran yang bakal menghambat kehidupan manusia.
Semua lapisan masyarakat terutama golongan remaja tidak mahu ketinggalan
dalam mengikuti kemajuan sains dan teknologi yang terkini. Namun begitu, kita
seharusnya memanfaatkan laman sosial. Bertitik tolak daripada itu, saya perlu
menjadi model dengan memanfaatkan laman sosial. Laman sosial merupakan medan
dan ruang untuk saya berhubung dengan rakan sekelas dan saudara mara agar
hubungan silaturahim dapat dieratkan bagai isi dengan kuku. Laman sosial
membolehkan saya dan rakan sekelas mahupun saudara mara menjalinkan hubungan
semula yang telah terputus. Saya dapat mengetahui perkembangan terbaru tentang
kawan saya melalui laman sosial. Saya dapat mengimbas kembali peristiwa pahit,
manis, masin dan tawar yang pernah saya lalui bersama dengan rakan saya dan
saudara mara. Sebagai contoh, saya boleh menggunakan ’skype’ untuk berhubung
dengan saudara mara yang tinggal berjauhan. Seterusnya, saya dapat bertanya
khabar dan bersembang dengan mereka. Namun, di sebalik keghairahan
mengaplikasikan kelebihan yang ada pada ruang maya ini, laman sosial juga
mengandungi budaya kuning dari barat yang bertentangan dengan nilai-nilai
ketimuran budaya masyarakat kita. Oleh hal yang demikian, saya akan memastikan
diri agar tidak terpengaruh dengan unsur-unsur negatif di laman sosial dengan
berpegang teguh pada nilai-nilai agama dan budaya timur yang disanjung tinggi
ini. Bahan-bahan tersebut boleh diakseskan oleh sesiapa sahaja tanpa sebarang
halangan jika tiada iman di dada. Jika perkara ini dibiarkan, gejala sosial
seperti gengterisme dan hedonisme akan menular dalam pemikiran remaja.
Perkara inilah yang akan saya cuba elak sejauh-jauhnya.
Sebagai menggulung segala yang telah diperkatakan di atas, kita
seharusnya memanfaatkan penggunaan laman sosial agar tidak terpengaruh oleh
unsur-unsur negatif yang bertentangan dengan agama dan budaya timur
masyarakat Malaysia. Oleh itu, kita perlulah bertindak secara
rasional dan matang tanpa mudah mengikut rentak kemajuan ICT yang begitu kuat
mengoda jiwa insani yang leka. Kita seharusnya menyeimbangkan masa dalam
melayari laman sosial supaya tidak mudah alpa dengan keasyikan yang ada pada
laman sosial. Kita seharusnya pandai menguruskan masa dan tidak terpedaya
dengan kata-kata manis kenalan baru supaya tidak mudah dieksplotasikan untuk
kepentingan diri mereka. Laman sosial akan terus menjadi populariti masyarakat
kini. Kita tidak boleh mengekang kemajuan ICT yang kian menular di seluruh
dunia, tetapi dengan menggunakan minda yang dianugerahi Tuhan ini, kita mampu
melakukan anjakan paradigma untuk memastikan kebaikan sentiasa
menyebelahi kita. Lantaran itu, amalan penggunaan laman sosial ke arah kebaikan
perlu disuntikkan dalam sanubari setiap rakyat di Malaysia. Marilah kita
bekerjasama memanfaatkan laman sosial ini, umpama aur dengan tebing dan
ibarat ke bukit sama di daki, ke lurah sama dituruni demi merealisasikan visi
kudsi Wawasan 2020 dalam melahirkan masyarakat yang peka dan celik ICT.
No comments:
Post a Comment