Sekolah Penyayang
Pendahuluan:
Sekolah
Penyayang berperanan melahirkan
pelajar-pelajar selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan melalui suasana
ilmu dan kasih sayang. Sekolah Penyayang merupakan institusi yang amat
diperlukan oleh para pelajar kita dalam membina jati diri dan bakat kepimpinan.
Dengan segala macam salah laku yang berlaku dan dilakukan oleh para pelajar
kita, diharapkan dengan adanya Sekolah Penyayang ini menjadi tempat berteduh
dan menumpang kasih bagi para pelajar.
Isi (ciri-ciri )
Kemesraan dan Sayang-Menyayangi - Budaya kemesraan dan sayang-menyayangi merupakan teras utama yang diperlukan dalam menjayakan Sekolah Penyayang. Hubungan yang mesra antara guru dan murid, guru dan ibu bapa serta sayang-menyayangi antara satu sama lain ialah mekanisme penting dalam Konsep Sekolah Penyayang.
Ilmu - Budaya ilmu ini perlu berlaku dalam sesebuah sekolah untuk melahirkan
Sekolah Penyayang. Budaya ilmu ialah setiap elemen tadi memahami dan menghayati
peri pentingnya maksudkan Sekolah Penyayang. Ilmu dan pemahaman tentang Sekolah
Penyayang adalah asas kepada kejayaan konsep tersebut. Semua yang terlibat
perlu memahami Konsep Sekolah Penyayang dan kepentingannya bagi pelajar.
Perkongsian - Budaya perkongsian merupakan aspek yang sering dilupakan dalam menjayakan Konsep Sekolah Penyayang. Usaha menjayakan konsep sekolah ini dikongsi bersama antara guru, murid dan komuniti. Sekolah Penyayang sepatutnya dijadikan misi kepada sesebuah sekolah untuk dikongsikan bersama terutama dengan murid dan komuniti.
Hormat-Menghormati - Budaya hormat-menghormati perlu tersemai sebagai langkah penting untuk menjayakan Sekolah Penyayang. Budaya ini sepatutnya wujud antara guru, komuniti dan pelajar. Budaya ini merupakan budaya positif yang telah dibicarakan dan diperkatakan sepanjang zaman. Namun begitu, masih lagi terdapat beberapa peristiwa yang menunjukkan kurang mantapnya budaya ini.
Penglibatan Semua - Budaya menunding jari kepada orang lain apabila berlaku kelemahan akan dapat dikurangkan apabila semua anggota komuniti dilibatkan dalam sesuatu program. Apabila semua golongan terlibat dalam menyumbang idea, merancang dan melaksana, maka kuranglah rasa kurang senang antara satu sama lain. Sebaliknya, mereka akan berganding bahu, berat sama dipikul ringan sama dijinjing dalam menggerakkan Sekolah Penyayang.
Pengukuhan Positif - Membudayakan kita dengan pengukuhan positif merupakan satu lagi kekuatan kepada menjayakan Konsep Sekolah Penyayang. Semua orang suka dipuji dan menerima hadiah. Oleh itu budaya pengukuhan positif adalah resepi penting dalam menjayakan Sekolah Penyayang. Namun begitu, kadang kala unsur yang kecil ini menatijahkan kesan yang besar dalam membina Sekolah Penyayang.
Hubungan Sekolah dan Komuniti - Kewujudan hubungan erat antara sekolah dan komuniti merupakan salah satu unsur penting dalam menjayakan Sekolah Penyayang. Komuniti mestilah dilibatkan dalam setiap program sekolah sama ada besar maupun kecil. Hal ini akan menjadikan sekolah milik bersama. Jatuh bangun sekolah juga tanggungjawab komuniti. Hubungan erat ini biasanya akan memberikan kesan kepada peningkatan pencapaian akademik sesebuah sekolah.
Budaya Kerja Berpasukan - Kerja berpasukan cukup penting dalam menjayakan Konsep Sekolah Penyayang. Kerja yang besar dan murni ini tidak mampu digerakkan oleh seorang dua sahaja dalam sebuah organisasi sekolah. Kerja berpasukan telah membuktikan kejayaan dalam semua organisasi . Oleh itu, budaya ini perlu diterjemahkan dalam sebuah organisasi yang bernama sekolah demi membina Sekolah Penyayang.
Aktiviti-aktiviti / Usaha yang praktikal
i) Perjumpaan Pagi - Melalui perjumpaan ini yang mengambil masa 5 hingga 10 minit, guru boleh
bertanya tentang masalah pelajar sama ada di rumah mahupun di sekolah. Dalam perjumpaan
pagi ini, guru boleh menyelaraskan banyak perkara dengan pelajar. Pelajar akan
berasa dirinya dihargai dan disayangi apabila guru mengambil berat tentang
mereka.
ii) Memberi Salam, Kad dan Hadiah - Guru dan pelajar boleh berlumba-lumba memberi salam antara mereka. Kad dan hadiah juga merupakan unsur yang menunjukkan wujudnya kemesraan dan sayang-menyayangi antara guru dan pelajar. Kad hari lahir, kad dan hadiah untuk kejayaan dalam ujian dan peperiksaan bukti Konsep Sekolah Penyayang.
iii) Menziarahi Murid dan Guru - Satu lagi cara membantu kejayaan Sekolah Penyayang ialah amalan ziarah-menziarahi apabila pelajar sakit. Biasanya guru hanya menerima sijil sakit sahaja dan rasanya tidak mengaibkan jika seorang guru bertandang ke rumah pelajarnya untuk menziarahi pelajar yang sakit.
iv) Perkongsian Misi Sekolah - Misi sekolah mestilah memasukkan unsur-unsur pembinaan Sekolah Penyayang. Para pelajar dikongsikan bersama dengan misi ini melalui ceramah, kuiz, pertandingan bahas, pertandingan poster, pertandingan kebersihan kelas dan menghiasi sudut-sudut kelas, tingkatan maupun sudut- sudut yang terdapat di sekitar sekolah. Pertandingan kelas terbersih terus dikekalkan. Pelajar juga dilibatkan bersama dalam menghasilkan misi sekolah untuk menimbulkan perasaan mereka sayang kepada misi sekolah dan sekolah itu sendiri.
v) Kempen - Kempen Sayangi Sekolah Anda, Sekolah Kita Rumah Kita, Datang Jam 7.30 Pagi, Kutip Sehari Satu Sampah dan lain lain lagi perlu dibuat untuk menyemai bibit menyayangi sekolah. Kempen Memberi Salam dan Senyum juga boleh dijalankan. Kempen ini perlu disusun dengan baik supaya dapat memberi impak yang sebaiknya demi menjayakan Konsep Sekolah Penyayang.
vi)Sudut Kita - Para pelajar boleh dilantik sebagai bapa dan ibu angkat kepada sudut-sudut dan kawasan-kawasan tertentu di dalam kawasan sekolah. Mereka diberi tugas untuk memastikan keceriaan sudut-sudut tersebut di samping maklumat di sudut tersebut perlulah semasa dan sentiasa bertukar ganti.
vii) Memuji dan Tidak Mencela - Satu lagi cara yang boleh membantu ke arah memartabatkan Sekolah Penyayang adalah dengan membanyakkan pujian kepada para pelajar atas jasa dan kejayaan mereka.. Tindakan mencela dan mengejek mereka atas kesalahan yang dilakukan patut dielakkan. Cuba terangkan kesalahan yang dilakukan dan sebab patut dijauhi. Hal ini akan menjadikan mereka mengetahui baik dan buruk sesuatu perkara.
viii) Memaksimum Penglibatan Pelajar Dalam Pengurusan Kelas - Satu lagi langkah yang praktikal untuk membina Sekolah Penyayang ialah para pelajar perlu diberi penglibatan yang maksimum dalam pengurusan kelas mereka. Biarkan mereka menguruskan kelas dan tingkatan mereka mengikut cita rasa mereka. Tindakan ini dapat meningkatkan rasa kasih dan sayang terhadap kelas
iix) Mentor-mantee - Pelajar yang terkedepan bidang akademiknya boleh dipilih untuk menjadi mentor manakala yang kurang akan menjadi manteenya. Mereka diberikan tugasan untuk membimbing rakan-rakan mereka untuk berjaya. Semangat berlumba-lumba akan berlaku dan mantee akan menyayangi mentornya yang telah bertungkus lumus mengajar dan membantunya berjaya dalam sesuatu mata pelajaran. Dalam setengah situasi, pelajar lebih mudah menguasai sesuatu kemahiran melalui rakan sebaya berbanding dengan gurunya. Program ini bukan sahaja melibatkan kelas-kelas peperiksaan seperti PMR dan SPM, tetapi juga kelas-kelas lain.
ix) Menggerakkan Badan Pengawas - Badan Pengawas sekolah juga boleh digerakkan untuk merealisasikan Konsep Sekolah Penyayang. Mereka lebih hampir kepada para pelajar. Pengaruh mereka selaku pengawas dan rakan sebaya amat berkesan jika dapat dimanfaatkan. Kempen dan program yang digerakkan oleh mereka akan dapat melahirkan rasa kasih sayang para pelajar lain kepada sekolah. Badan pengawas boleh menganjurkan”Kempen Minggu Sayangi Sekolah”, ”Seorang Pelajar Sebuah Pasu”, ”Seorang Pelajar Sepokok Bunga”, ”Kempen Kebersihan Perdana” dan lain-lain.
x) Rakan Islah - Islah membawa maksud pembaikan.
xi) Persatuan Alumni Sekolah - Persatuan Murid Tua atau alumni sekolah boleh digandingkan dengan warga sekolah dalam merancang dan melaksanakan program Sekolah Penyayang. Apabila alumni sekolah boleh digerakkan seaktif mungkin dalam penumpuan kepada Sekolah Penyayang, tenaga warga sekolah yang lain, khususnya para pendidik boleh menumpukan kepada pengajaran dan pembelajaran. Persatuan Alumni ini juga boleh menaja poster, banting dan banner yang mengandungi perkataan-perkataan yang merangsang rasa kasih dan sayang pelajar kepada sekolah, misalnya, ”Selamat Datang Pelajar Yang Disayangi”, ”Sayangilah Sekolah Anda, Nescaya Allah Menyayangi Anda”, ”Marilah Kita Berkasih Sayang Untuk Kecemerlangan Sekolah”.
xii) Perkongsian Pintar (Smart Partnership) - Membina Sekolah Penyayang merupakan satu tugas yang amat berat, lebih-lebih lagi cabaran yang bertali arus. Perkongsian pintar yang dilakukan antara warga sekolah dengan badan-badan kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) akan memudahkan hasrat ke arah mewujudkan Sekolah Penyayang. Dalam setengah perkara, pihak-pihak luar boleh memainkan peranan untuk menjayakan hasrat sekolah. Sekiranya pihak sekolah ingin mengindahkan landskap persekitaran sekolah untuk melahirkan rasa selesa, kondusif dan menanamkan rasa sayang pelajar kepada sekolah dengan persekitaran keindahannya, Majlis Perbandaran dan Jabatan Pertanian boleh memberikan khidmat nasihat mereka. Pihak masjid dan Pejabat Agama Islam Daerah pula boleh menurunkan ilmu dan pengalaman tentang kepentingan Konsep Sekolah Penyayang dalam konteks perkembangan pelajar sebagai hamba dan khalifah Allah di atas muka bumi ini. Organisasi ini boleh dilibatkan dalam menjayakan misi dan visi sekolah. Untuk menangani masalah dadah pula, pihak PEMADAM dan AADK boleh dilibatkan untuk majlis penerangan dan aktiviti-aktiviti yang dapat menjauhi para pelajar dari gejala ini.
Penutup
Sekolah Penyayang merupakan institusi yang indah dan murni. Keindahan dan kemurniannya perlukan kepada pengorbanan masa, tenaga,wang ringgit dan keringat warga pendidik, pelajar, ibubapa dan komuniti setempat. Hasrat murni Sekolah Penyayang yang digagaskan berdasarkan Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan Wawasan 2020 dapat direalisasikan. Kita dapat membina pelajar yang cemerlang akademik dan seimbang perkembangannya dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek, serta mempunyai disiplin diri yang tinggi, berketrampilan, patriotik, tidak bersikap individualistik sebaliknya mempunyai semangat kerjasama berpasukan serta mampu memain peranan dalam masyarakat
Thank you for your
ReplyDeletehelping and teach me my homework