“Hidup sandar-menyandar bagai aur dengan tebing”.
Berdasarkan maksud peribahasa tersebut, huraikan faedah aktiviti kemasyarakatan
terutamanya amalan bergotong royong dalam kehidupan kita seharian.
Dalam meniti kehidupan yang
bertunjangkan nawaitu materialistik dan individualistik marcapada, kita
seyogianya memahami maksud amalan bergotong royong. Amalan ini merupakan budaya
yang dipraktikkan sejak generasi dulu dan amalan ini dianggap tak basah dek
hujan, tak lekang dek panas. Peribahasa ini menunjukkan warisan budaya atau
amalan bangsa agar sentiasa releven dan diingati oleh masyarakat Malaysia ,
terutamanya generasi alaf baharu ini. Yang berlaku sekarang, budaya yang
diingini hanyalah keseronokan dan keselesaan yang tidak mahu
dipertanggungjawabkan. Fenomena ini melunturkan semangat memupuk amalan
bergotong-royong. Tepuk dada, tanya selera; berapa ramaikah yang tidak
mengenali maksud gotong-royong dan melaksanakannya? Berapakah peratus daripada
golongan muda generasi kini yang telah bergotong-royong untuk membersihkan
sesuatu tempat? Oleh hal yang demikian,kita mestilah mengenali faedah
bergotong-royong dan menjalankan kegiatan bergotong-royong ini.
Faedah dominan ialah amalan
bergotong-royong dapat memperindah tempat tinggal. Kebersihan tempat tinggal
merupakan keperluan asas untuk hidup dengan selesa. Dengan amalan
kemasyarakatan ini, tempat tinggal kita tidak akan menjadi sekadar indah
khabar daripada rupa. Sebagai insan biasa, kita tentu mahu akan kecantikan
tempat tinggal kita dipuji oleh orang lain. Dengan menjalankan amalan
bergotong–royong kita dapat memperindah sendiri kawasan tempat tinggal dan
memahami jiran dengan lebih mendalam. Fenomena ini persis peribahasa tak
kenal maka tak cinta. Sebagai contoh, apabila kawasan tempat tinggal kita
sentiasa bersih dan indah, rakan-rakan sendiri akan menyukai kawasan tempat
tinggal kita secara langsung dan akan sentiasa menziarahi kita. Sebagai seorang
penghuni bumi, kita boleh mengaktifkan diri dalam amalan bergotong-royong dapat
menghijaukan bumi. Persis kata peribahasa, sambil menyelam minum air. Dengan
mengaktifkan diri dalam amalan bergotong–royong, kita dapat lebih memahami
kepentingan kegiatan bergotong-royong dan akan mewujudkan masyarakat yang
bekerjasama. Benarlah kata peribahasa, bersatu kita teguh bercerai kita
roboh . Lantaran itu, kita harus mengapresiasi amalan ini sebelum kewujudannya
tidak diketahui lagi; dan janganlah kita lupa bahawa di mana ada kemahuan,
di situ ada jalannya.
Selain itu, amalan
bergotong-royong seyogianya menjadi satu daripada aktiviti kehidupan yang
penting sebagai langkah membersihkan tempat tinggal daripada menjadi vektor
penyakit. Dengan berbuat begitu, kita dapat mencegah dan menjauhi penyakit.
Kata Tun Dr. Mahathir, “mencegah lebih baik daripada mengubati”. Secara
peribadi, saya berpendapat bahawa kegiatan ini amat berfaedah dan mesti
diamalkan sejak kecil kerana meluntur buluh biarlah dari rebungnya. Dengan
menjadikan amalan ini sebagai aktiviti penting dalam kehidupan, kita dapat
banyak memperoleh pengalaman dan pengetahuan daripada amalan tersebut. Kita
juga dapat mengetahui betapa senangnya untuk menyelesaikan sesuatu kerja dengan
tenaga kerja yang ramai jikalai kita mengaktifkan diri dalam kegiatan bergotong-royong.
Biar saya ambil contoh yang dekat dengan kita, amalan ini perlu dipraktikkan
untuk mengekalkan kesihatan dan keadaan yang selesa di kawasan tempat tinggal .
Justifikasinya, amalan ini harus menjadi amalan daripada satu generasi kepada
satu generasi.
Tak tumbuh tak melata, tak
sungguh orang tak kata! Hal ini
demikian, kegiatan bergotong-royong memainkan peranan yang amat penting sebagai
agen perpaduan . Hal ini dikatakan demikian kerana kajian yang dijalankan oleh
Jabatan Perpaduan Negara yang mendapati jurang pemisah antara kaum semakin
lebar dari setahun ke setahun kerana rambut sama hitam, hati lain-lain.
Dengan menjalankan kegiatan bergotong-royong kita dapat menghapuskan sikap
masyarakat yang seperti enau di dalam belukar, melepaskan pucuk
masing-masing. Apabila seseorang yang berlainan kaum berinteraksi dengan
seseorang yang berlainan kaum, kita dapat mengenali kebudayaan kaum-kaum
masing- masing kerana masuk ke kandang kambing mengembek, masuk ke kandang
kerbau menguak. Sebagai contoh, melaui kegiatan bergotong-royong, kita akan
lebih mempercayai masyarakat sekeliling
dan menghormati sesama diri. Dengan itu, kita akan hidup saling membantu bagai
aur dengan tebing .
Melalui kegiatan yang afdal
ini juga kita dapat memupuk nilai murni dalam sanubari kita. Hal ini dikatakan
demikian kerana Tun Dr.Mahathir, mantan Perdana Menteri ke-4 pernah menegaskan
bahawa dengan melibatkan diri dalam kegiatan bergotong-royong, kita berupaya
menerap pelbagai nilai murni dalam diri. Fenomena ini sama seperti kata
peribahasa sambil menyelam ,minum air.
Jelas beliau semasa merasmikan kempen bergotong-royong pada peringkat nasional,
awal tahun 2003. Nilai murni yang diterapkan akan mentransformasikan kita
sebagai orang yang lebih disukai dan diterima oleh masyarakat. Amalan ini juga
mampu memasyarakatkan rakyat Malaysia
oleh sebab bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat. Hal ini terbukti benar apabila rakyat Malaysia
yang berbilang kaum dapat hidup secara harmoni dan harmonis. Memang tidak dapat
dinafikan lagi bahawa amalan kemasyarakatan seperti bergotong royang merupakan
wahana terpenting ke arah merealisasikan agenda dan aspirasi nasional.
Faedah terakhir yang tidapat
diketepikan sama sekali ialah aktiviti bergotong-royong sememangnya dapat
menghidupkan semangat kejiranan. Dengan berbuat demikian, kita dapat mengenali
jiran secara mendalam. Setelah terlaksananya aktiviti ini , kita akan
terpanggil untuk membuka hati kita lalu menegur jiran kita. Pembahagian tugas
akan dapat dijalankan semasa aktiviti bergotong-royong dijalankan dan semua
orang akan merasai semangat bersatu padu . Sebagai contoh, aktiviti yang boleh
diadakan secara bergotong-royong termasuklah membersihkan kawasan taman,
menyediakan hidangan untuk kenduri-kendara, dan sebagainya. Melalui cara ini,
kita dapat menjalin dan meningkatkan hubungan sesama jiran. Bak kata pepatah, berat
sama dipikul, ringan sama dijinjing. Jiran ialah orang yang tinggal di
sekitar rumah kita, iaitu di sebelah, di hadapan, dan juga di belakang rumah
kita. Jiran sangat penting kerana merekalah yang akan menjadi sahabat kita dan
orang yang pertama akan membantu apabila kita menghadapi kesusahan nanti. Tak
percaya? Janganlah lupa bahawa pepatah Melayu ada mengatakan bahawa jiran
sepakat membawa berkat. Lantaran itu, hidupkanlah amalan murni ini dalam
kehidupan kita seharian.
Intihanya , amalan
bergotong-royong membawa faedah yang banyak . Dengan mengamalkan semangat ini,
bumi akan menjadi sebuah tempat yang lebih indah dengan secara tidak langsung.
Hayatilah kata pepatah, ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni. Oleh
itu, amalan ini tidak akan dilupai dan sirna ditelan zaman. Sesungguhnya,
amalan gotong-royong merupakan tanggungjawab yang penting bagi setiap orang
untuk mewujudkan kualiti kehidupan yang optimum. Marilah kita semaikan amalan yang murni dan amalkannya dalam
kehidupan harian kerana pepatah ada menyebut bahawa yang baik dijadikan
teladan, yang buruk dijadikan sempadan. Maka, semangat hidup
sandar-menyandar bagai aur dengan tebing dapat disuburkan semula dalam sanubari
rakyat Malaysia
yang rencaman budaya, ras, etnik dan agama ini!
Terima Kasih untuk karangan yang menarik ini
ReplyDelete