Saturday 17 August 2013

FOKUS PERCUBAAN :KOMSAS -PELAYARAN YANG PENUH PERISTIWA


PELAYARAN YANG PENUH PERISTIWA

Kisah ini bermula dengan perjalanan geliung panjang (kapal layar yang besar dijadikan kapal perang atau kapal dagang) Tuan Puteri Dayang Seri Jawa meredah lautan untuk pulang ke Tanah Jawa. Geliung yang terlalu laju itu menyebabkan semua anak kapalnya muntah-muntah dan mabuk kecuali Tuan Puteri Dayang Seri Jawa yang menjadi jurumudi, (jurumudi  yang asal turut mabuk) Si Kembang Cina dan Awang  Sulung Merah Muda. Tuan Puteri Dayang Seri Jawa menyuruh Si Kembang Cina memanggilkan Awang Sulung untuk menggantikannya yang keletihan. Awang Sulung tidak mahu menuruti perintah Tuan Puteri Dayang Seri Jawa. Tuan Puteri Dayang Seri Jawa menyuruh Si Kembang Cina memujuk Awang untuk menggantikannya dengan bahasa yang lembut. Sebelum menggantikan tempat Tuan Puteri Dayang Seri Jawa, Si Kembang Cina telah menghidangkan makanan kepada Awang Sulung kerana dia kelihatan letih.

Selepas makan, Awang Sulung menggantikan Tuan Puteri Dayang Seri Jawa untuk menjaga kemudi kapal. Awang Sulung tidak menjaga kemudi geliung itu malah membiarkan geliung  tersebut belayar mengikut tiupan angin. Tuan Puteri Dayang Seri Jawa yang keletihan tidak mahu berehat kerana Tuan Puteri sebenarnya mahu berdua-duaan  dengan Awang Sulung. Tuan Puteri Dayang Seri Jawa sudah jatuh hati kepada Awang Sulung sehinggakan bau busuk Awang Sulung yang seperti belacan itu dibaunya harum.

Setelah tiga hari belayar, mereka tiba di Pulau Tapai. Tuan Puteri Dayang Seri Jawa mengajak Awang Sulung berlabuh di situ untuk mengambil kayu dan air yang kehabisan. Namun begitu, geliung mereka tidak dapat berlabuh kerana air laut yang bergelora. Awang Sulung mencampakkan bungkusan tulang pelanduk putih yang diikat dengan benang lima warna ke dalam laut. Air laut menjadi tenang.

Setelah beberapa lama mereka berlabuh, orang-orang yang mabuk tadi mulai tersedar. Ada yang terpinga-pinga kerana tidak tahu lokasi mereka berada pada waktu itu. Jurumudi geliung juga tersedar dan dengan segera dia mencabut kerisnya dan menikam seekor ayam. Jurumudi itu berjumpa dengan Tuanku Nakhoda Tua dan mengaku bahawa dialah yang menyelamatkan geliung tersebut daripada amukan Tuan Puteri Dayang Nuramah. Tuanku Nakhoda Tua yang baru tersedar daripada pengsan membelek-belek keris jurumudi yang berdarah itu. Tuanku Nakhoda Tua mempercayai kata-kata jurumudi itu kerana pada waktu amukan berlaku baginda telah pengsan.

Geliung itu berlabuh di Pulau Tapai selama tiga hari tiga malam. Anak-anak geliung itu bergembira dengan pelbagai jamuan. Tuanku Nakhoda Tua berjanji akan mengahwinkan puterinya dengan sesiapa yang dapat menyelamatkan pelayaran itu sehingga ke Tanah Jawa. Jurumudi menyatakan kesanggupannya untuk memastikan perjalanan mereka selamat. Tuanku Nakhoda Tua meminta jurumudi bersabar kerana mereka masih berada dalam keadaan bahaya. Hal ini demikian kerana mereka akan menempuhi kawasan yang dipenuhi bajak laut (lanun laut).

Pada suatu hari, jurumudi terlihat Awang Sulung hanya duduk dan makan. Awang Sulung tidak melakukan kerja seperti mengambil air dan kayu seperti anak-anak geliung yang lain. Dia menanyakan hal itu kepada Tuan Puteri Dayang Seri Jawa. Tuan Puteri Dayang Seri Jawa amat murka dengan pertanyaan jurumudi itu. Tuan Puteri Dayang Seri Jawa terfikir untuk menguji kecekapan Awang Sulung. Tuan Puteri Dayang Seri Jawa menyuruh Si Kembang Cina mengambilkan buyung suasa dan meminta Awang Sulung mengambil air. Perkara yang aneh berlaku apabila anak-anak geliung mencari air di pulau, Awang Sulung pula mengambil air di tengah laut di tempat arus yang paling kuat. Awang Sulung diberikan sebilah parang untuk mencari kayu. Namun begitu, orang lain mengambil pokok bakau dan temu laut (sejenis herba laut  yang berumbi untuk dijadikan ubat) Awang Sulung mengambil batang nipah. Jurumudi meluahkan perasaan tidak puas hatinya terhadap sikap Awang Sulung itu di hadapan Tuan Puteri Dayang Seri Jawa.

Sewaktu jamuan kenduri diadakan, jurumudi bersubahat dan berpakat dengan Si Kembang Cina untuk memberikan sisa-sisa nasi di dalam tempurung berbulu kepada Awang Sulung. Tuan Puteri Dayang Seri Jawa telah mengetahui perkara itu lalu baginda memarahi Si Kembang Cina. Tuan Puteri Dayang Seri Jawa menyuruh Si Kembang Cina menyediakan makanan istimewa  yang diletakkan di atas talam yang beralaskan kain kuning. Tuan Puteri Dayang Seri Jawa merasa air laut yang diambil oleh Awang Sulung. Air yang masin itu telah bertukar menjadi manis seperti serbat (minuman daripada air gula). Tuan Puteri Dayang Seri Jawa menyuruh Si Kembang Cina merasa air masin itu juga. Si Kembang Cina berasa hairan dan kagum akan kemanisan air tersebut. Tuan Puteri Dayang Seri Jawa mengingatkan Si Kembang Cina agar tidak mengulangi perbuatan seperti itu lagi kepada Awang Sulung.

Tuanku Nakhoda Tua memanggil kesemua anak geliung sebaik-baik sauh diangkat untuk meneruskan pelayaran. Baginda menerangkan bahawa perjalanan mereka akan menempuhi kawasan Laut Sekona Lingga yang dipenuhi oleh bajak-bajak laut dan ketua masing-masing, iaitu Sekona Lingga, Panglima Helang Laut, Panglima Kecil Muda Teruna, Panglima Kecil Muda Suara. Baginda berjanji akan mengahwinkan sesiapa yang dapat menyelamatkan baginda dan puteri baginda dengan puteri baginda, iaitu Tuan Puteri Dayang Seri Jawa. Seluruh anak geliung itu terpegun dan berasa kecut perut apabila mendengar jumlah lanun yang banyak di laut itu. Namun begitu, jurumudi mengatakan bahawa dialah yang akan berlawan dengan bajak-bajak laut itu kesemuanya.

Apabila mereka melintasi perairan Pulau Salah Nama, kumpulan lanun telah menyerang geliung itu. Anak-anak geliung itu lari ke bawah untuk menyelamatkan nyawa masing-masing termasuklah jurumudi itu sendiri. Tuan Puteri Dayang Seri Jawa memerintahkan Si Kembang Cina memanggil Awang Sulung untuk menentang bajak laut itu. Awang Sulung memberikan alasan bahawa tangan dan kakinya sakit-sakit. Apabila mendengar alasan Awang Sulung, Tuan Puteri Dayang Seri Jawa mengetahui barang yang perlu diberikan kepada Awang Sulung. Si Kembang Cina disuruhnya untuk memberikan limau selimpat pagar dan sabun wangi kepada Awang Sulung. Selepas mandi, terjelmalah rupa sebenar Awang Sulung yang kacak dan berseri-seri. (Sebelum ini hitam dan comot). Awang Sulung memakai pakaian pusaka warisan bondanya, mengenakan keris  dan pedang sakti sebelum keluar menghadapi pihak lanun laut.

Pada waktu itu, 44 orang lanun sedang mencangkuk alat tempat mengikat tali kapal. Awang Sulung menyeru nama ketua-ketua lanun. Lanun-lanun yang mendengar suara Awang Sulung berasa gementar kerana mengecam suaranya. Dengan tubuh yang gementar, lanun-lanun laut tersebut  memohon ampun kerana tidak mengetahui bahawa penghulu mereka, iaitu Awang Sulung turut berada di dalam geliung yang  diserang oleh mereka itu. Awang Sulung menjelaskan bahawa baginda tidak memberitahu pelayaran baginda kepada mereka kerana baginda menemani Tuan Puteri Dayang Seri Jawa kembali ke Tanah Jawa. Awang Sulung turut menyatakan bahawa baginda juga telah berhutang rial batu (wang) dan emas dengan Tuan Puteri Dayang Seri Jawa untuk melangsaikan hutang baginda kepada Datuk Batin Alam. Lanun-lanun tersebut telah berjanji untuk melangsaikan hutang baginda jika Awang Sulung hendak pulang ke Bandar Mengkalih. Awang Sulung telah menyatakan hasrat baginda untuk pulang ke Bandar Mengkalih Tuan Puteri Dayang Seri Jawa kerana hutangnya telah langsai. Tuan Puteri Dayang Seri Jawa ingin terjun ke laut  apabila mendengar hasrat Awang Sulung tetapi segera dihalang oleh hulubalangnya. Tuan Puteri Dayang Seri Jawa jatuh pengsan namun sedar kembali apabila mendengar Awang Sulung berpantun.

Sementara itu, semua ketua lanun dan pengikut-pengikut mereka dijamu makanan dan minuman bersama-sama dengan anak geliung di atas dek itu. Ketua-ketua lanun itu telah mengisikan wang dinar emas ke dalam geliung itu. Setelah kumpulan lanun itu pergi, jurumudi sekali lagi telah menikam seekor ayam. Dengan membawa keris yang berdarah itu, jurumudi menghadap Tuanku Nakhoda Tua dan mengaku bahawa dia telah menyelamatkan geliung itu daripada dirampas oleh lanun. Dengan tidak berfikir panjang, Tuanku Nakhoda Tua percaya akan pembohongan jurumudi itu lantas menitahkan Mualim  Cik Mas mengahwinkan puterinya dengan jurumudi itu. Tuan Puteri Dayang Seri Jawa sangat marah dengan tindakan ayahandanya itu yang tidak mengetahui hal yang sebenarnya. Tuan Puteri Dayang Seri Jawa menyuruh ayahandanya melihat seseorang di tengah geliung itu. Tuanku Nakhoda Tua ternampak seorang pemuda yang sangat tampan dengan wajah yang berseri-seri. Tuan Puteri Dayang Seri Jawa menerangkan bahawa pemuda itu ialah Awang Sulung Merah Muda anak tuanku Si Helang Laut, cucu Tuanku Si Helang Mawai. Sebelum ini Awang Sulung menyamar menjadi budak yang hitam dan comot.  Tuan Puteri Dayang Seri Jawa menjelaskan bahawa Awang Sulung yang telah menyelamatkan geliung mereka dan memenuhkannya dengan dinar emas pemberian bajak laut. Apabila mengetahui perkara yang sebenar, Tuanku Nakhoda Tua memohon maaf kepada Awang Sulung lalu mengahwinkan Awang Sulung dengan puterinya. Jurumudi yang berbohong itu melarikan diri daripada majlis tersebut dan terus mengemudi geliung dengan perasaan malu dan marah.

Setelah meraikan majlis  perkahwinan, geliung tersebut meneruskan pelayaran ke Tanah Jawa. Pelayaran mereka merentasi beberapa buah pulau sebelum tiba di Negeri Pati Talak Terengganu. Awang Sulung dijemput naik ke darat oleh raja Negeri Pati Talak Terengganu. Semasa naik ke darat, Awang Sulung ditemani oleh jurubatu dan Bujang Selamat yang mengepit Kinantan Suci, iaitu seekor ayam laga. Apabila sampai di negeri tersebut, Awang Sulung ingin bersabung ayam dahulu. Pada mulanya,  Kinantan Suci hampir tewas. Namun begitu, selepas mendengar tuannya berseru-seru memberikan semangat, Kinantan Suci menaji lawannya sehingga putus kepala. Selepas bersabung ayam, Awang Sulung naik ke balairung dan disambut oleh pembesar dan rakyat di negeri itu.



ASPEK-ASPEK KOMSAS DALAM PROSA TRADISIONAL PELAYARAN YANG PENUH PERISTIWA

ITEM
PERNYATAAN
HURAIAN
Tema
Kelebihan, kesaktian, keistimewaan dan kehebatan anak raja
Awang Sulung Merah Muda digambarkan memiliki kelebihan, kesaktian, keistimewaan dan kehebatan seperti berikut
- boleh menggerakkan geliung tanpa memegang kemudi,
- menenangkan air laut dengan mencampakkan tulang pelanduk putih,
- menukarkan air laut yang masin menjadi manis,
- semasa ketibaan baginda ke Negeri Talak Terengganu, alat-alat kebesaran dan seluruh isi alam berbunyi sendiri seolah-olah menyambutnya
- dan ketika baginda menyeru ayamnya Kinantan Suci yang hampir tewas semasa menyabung sehingga khirnya dapat mengalahkan lawannya Si Jalak.
Persoalan

Persoalan cinta tidak mengenal rupas paras
Tuan Puteri Dayang Seri Jawa jatuh hati kepada Awang Sulung kerana melihat kelebihan yang dimiliki oleh Awang Sulung walaupun ketika itu Awang Sulung comot dan hitam
Persoalan perasaan dengki dan cemburu
Jurumudi sangat dengki kepada Awang Sulung yang mendapat layanan yang baik daripada Tuan Puteri sehingga sanggup menyuruh Si Kembang Cina memberi sisa-sisa nasi di dalam tempurung berbulu kepada Awang Sulung
Persoalan kewibawaan dan pengaruh yang kuat mampu menumpaskan lawan
Lanun-laun tidak berani menyerang geliung yang dinaiki Tuan Puteri Dayang Seri Jawa apabila mendengar suara Awang Sulung Merah Muda
Persoalan menipu untuk mencapai matlamat
Jurumudi menipu Tuanku Nakhoda Tua dengan mengatakan dialah yang menyelamatkan geliung daripada serangan Tuan Puteri Dayang Nuramah dan lanun dengan menunjukkan keris yang berdarah ayam.Tujuannya supaya dia dapat berkahwin dengan Tuan Puteri Dayang Seri Jawa.
Persoalan menghormati tetamu
Awang Sulung disambut oleh pembesar istana dan rakyat Negeri Pati Talak Terengganu semasa naik ke balairung seri
Persoalan keberanian menghadapi cabaran
Awang Sulung berani mengalahkan serangan Tuan Puteri Dayang Nuramah sehingga mereka dapat belayar dengan selamat
Watak & perwatakan Awang Sulung Merah Muda
Memiliki pelbagai kesaktian
Baginda dapat menenangkan air laut yang bergelora, menukarkan air masin menjadi manis dan tidak perlu memegang kemudi untuk menggerakkan geliung
Patuh pada peraturan
Baginda meminta Bujang Selamat bertanyakan adat bergelanggang sebelum menyabung ayam
Merendah diri
Apabila disuruh mengemudi geliung menggantikan Tuan Puteri baginda mengatakan sekiranya dia berada di daratan boléela dia menjadi penghalau ayam, penunggu itik atau tukang sapu rumah
Berani
Mampu mengalahkan serangan Tuan Puteri Dayang Nuramah dan lanun-lanun seorang diri
Watak & perwatakan Tuan Puteri Dayang Seri Jawa
Penyayang
Tuan Puteri jatuh hati kepada Awang Sulung setelah melihat kelebihan dan kehebatan Awang Sulung
Menghormati tetamu
Baginda meminta Si Kembang Cina menyediakan hidangan istimewa kepada Awang Sulung
Prihatin
Baginda marah apabila Si Kembang Cina memberi sisa-sisa nasi dalam tempurung berbulu dan ketika jurumudi dengki kepada Awang Sulung
Suka menguji
Baginda menguji kelebihan Awang Sulung dengan menyuruhnya mengambil air
Latar masa
3 hari 3 malam
3 hari 3 malam tempoh masa geliung berlabuh di Pulau Tapai
Waktu siang
Ketika anak-anak papal mencari kayu api dan air di pulau
Latar tempat





Geliung panjang
Tuan Puteri Dayang Seri Jawa menaiki geliung panjang dari Bandar Mengkalih menuju ke negeri Semarang di Tanah Jawa
Pulau Tapai
Tempat geliung berlabuh untuk mengambil kayu dan air
Pulau Salah Nama
Sekumpulan lanun menyerang geliung dan Awang Sulung berani menentang lanun-lanun tersebut
Negeri Pati Talak Terengganu
Awang Sulung menyabung ayamnya Kinantan Suci
Latar masyarakat
Masyarakat bangsawan
Terdiri daripada Awang Sulung Merah Muda, Tuan Puteri Dayang Seri Jawa, Tuanku Nakhoda Tua, Tuan Puteri Pinang Masak dan Raja Negeri Pati Talak Terengganu
Masyarakat penipu
Jurumudi menipu Tuanu Nakhoda Tua dengan memberitahu bahawa dialah yang menewaskan lanun-lanun yang menyerang geliung mereka
Masyarakat yang suka menyabung ayam
Awang Sulung singgah di Negeri Pati Talak Terengganu kerana ingin menyabung ayam
Masyarakat yang berani
Awang Sulung mengalahkan serangan lanun-lanun seorang diri
Masyarakat lanun
Lanun-lanun menyerang geliung yang dinaiki oleh Tuan Puteri
Nilai
Keberanian
Awang Sulung berani bertarung dengan lanun-lanun yang menyerang geliung yang dinaiki oleh mereka untuk memastikan Tuan Puteri selamat
Keinsafan
Tuanku Nakhoda Tua insaf dan memohon maaf atas kesalahannya kepada Awang Sulung
Hormat-menghormati
Tuan Puteri menghormati Awang Sulung dengan meminta Si Kembang Cina menyediakan hidangan istimewa kepada Awang Sulung
Kasih sayang
Tuan Puteri jatuh hati kepada Awang Sulung dan ingin terjun ke dalam laut apabila Awang Sulung menyatakan tugasnya sudah selesai dan ingin pergi dari situ
Merendah diri
Awang Sulung merendah diri apabila berada di atas geliung sambil menyamar budak hitam dan comot
Pengajaran
Kita hendaklah berani menghadapi cabaran agar kecelakaan dapat dielakkan
Awang Sulung berani berlawan dengan lanun-lanun seorang diri untuk memastikan Tuan Puteri selamat dalam pelayaran
Kita hendaklah insaf apabila melakukan kesilapan agar orang lain tidak membenci kepada kita
Tuanku Nakhoda Tua insaf dan memohon maaf kepada Awang Sulung setelah mengetahui perkara yang sebenar
Kita perlu saling mengasihi supaya hubungan berkekalan
Awang Sulung dan Tuan Puteri saling menyayangi selepas berkahwin
Jangan kita menipu orang lain kerana perbuatan tersebut akan mendatangkan musibah
Jurumudi menerima hukuman atas perbuatannya menipu Tuanku Nakhoda Tua
Jangan kita meninggalkan kawan kita yang berada dalam kesusahan
Jurumudi lari menyelamatkan diri apabila lanun menyerang geliung mereka
Gaya Bahasa
Bahasa klasik
geliung
Bahasa Istana
Beta, santap, kekanda, ayahanda
Peribahasa
Enau mencari sigai, lesung mendapatkan antan, kecil hati
Simile
Bagai pucuk dilancarkan, bagai air di kuali, bagai purnama empat belas haribulan, bagai kilat sambar-menyambar
Unsur puisi tradisional
Pantun, seloka




Pelayaran yang Penuh Peristiwa
Baca prosa klasik di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.

            Ketika Awang Sulung berpantun itu, sekali lagi rakyat Negari Pati Talak menjadi hairan kerana terlihatkan gigi Awang Sulung yang cantik bercahaya-cahaya bagai kilat sembur-menyembur itu.
            Sungguhpun dalam hatinya mahu mengatakan bahawa putera ini mungkin anak saudaranya, tatapi hatinya masih merasa ragu-ragu sebab takut tersalah orang kelak malu di tengah khalayak ramai.
            “Sila anakanda ke balairung seri.”
            “Baiklah, ayahanda.  Tetapi anakanda hendak ke gelanggang sabung terlebih dahulu.”
            Di gelanggang, disuruhnya Bujang Selamat bertanyakan tentang adat bergelanggang.  Jawab penghulu gelang, “Bermain di sini beradat juga, encik.”  “Bolehkah menyeru tuah ayam di dalam gelanggang?” tanya Bujang Selamat lagi.
            “Semuanya boleh, encik.  Yang tidak, boleh hanya mencabut keris di pinggang, membuang tengkolok di kepala, menyingsing lengan dan menyerukan anak lelaki.”

  1. Berikan maksud rangkai kata bagai kilat sembur-menyembur.


  1. Apakah adat menyabung ayam yang tidak dibenarkan seperti dijelaskan oleh penghulu gelanggang sebelum acara menyabung ayam dijalankan?



  1. Pada pendapat anda, mengapakah masyarakat dahulu gemar menyabung ayam?






3 comments: