CIRI-CIRI PELAJAR CEMERLANG
Berderap seiring berjalan pulang,
Mawar disisip hiasan si dara,
Remaja kini berperibadi cemerlang,
Menjadi tunjang aspirasi negara.
Pantun
di atas menerangkan bagaimana seorang pelajar yang cemerlang dapat memberikan
kebaikan kepada negara. Hal ini demikian kerana pelajar cemerlang mampu
merealisasikan aspirasi negara dan seterusnya bakal menerajui tampuk
pemerintahan negara. Sehubungan dengan itu, setiap pelajar perlu mengambil
inisiatif untuk menjadi pelajar yang cemerlang, bak kata peribahasa, kalau
tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya. Bagi menjadi pelajar
yang cemerlang, pelbagai kriteria yang positif perlu dipraktikkan dalam
kehidupan seharian mereka.
Ciri
utama yang perlu ada dalam diri seorang pelajar cemerlang ialah mempunyai sahsiah dan peribadi yang unggul.
Seorang pelajar yang mempunyai peribadi yang unggul akan sentiasa menjaga
hubungan baik sesama manusia tidak kiralah ketika bersama keluarga, guru
mahupun rakan-rakan.Sebagai contoh, pelajar yang cemerlang sentiasa menghormati
dan menyayangi guru mereka. Mereka juga sentiasa berlapang dada untuk
membantu rakan-rakan dalam pelajaran. Sifat sombong dan angkuh tidak pernah
wujud dalam kamus hidup seorang pelajar yang cemerlang. Mereka sentiasa
mengamalkan sikap bermurah hati dan tidak pilih kasih dalam pergaulan dengan
membeza-bezakan bangsa, agama dan prestasi akademik kerana menyedari bahawa
setiap manusia adalah sama di sisi Allah. Sahsiah dan peribadi pelajar yang
cemerlang yang unggul disenangi oleh orang di sekelilingnya kerana mereka tetap
bergaul mesra kerana tidak bersikap seperti kera sumbang. Oleh itu,
jelaslah bahawa pelajar cemerlang mempunyai sahsiah dan peribadi yang unggul.
Seterusnya,
pelajar yang cemerlang sentiasa mengikut
ajaran agama. Setiap agama di dunia ini menganjurkan manusia melakukan
kebaikan tidak kiralah agama Islam, Kristian, Hindu mahupun Buddha. Pelajar
yang cemerlang sentiasa menjadikan agama sebagai panduan hidup. Agama menjadi
landasan yang paling ampuh dalam membentuk diri pelajar yang cemerlang seperti
kata seorang cendekiawan, permulaan hidup seseorang manusia adalah
mengenal Tuhan dan agamanya. Pelajar yang cemerlang akan sentiasa
mempunyai nawaitu yang suci dalam setiap tindakan yang dilakukan oleh mereka.
Sebagai contoh, seorang pelajar Islam yang cemerlang sentiasa menunaikan
tanggungjawabnya terhadap Allah iaitu dengan menunaikan solat serta sentiasa
berdoa untuk mencapai kejayaan. Oleh itu, jelaslah bahawa agama menjadi
pegangan pelajar yang cemerlang agar mereka tidak terpesong daripada matlamat
sebenar hidup di dunia ini serta seimbang dari aspek jasmani, emosi, rohani,
intelek dan sosial (JERIS).
Selain
itu, pelajar yang cemerlang sentiasa
menyedari hakikat bahawa masa itu emas dan tidak mensia-siakan setiap saat yang
dimilikinya. Mereka sentiasa mengisi masa terluang dengan melakukan pelbagai
aktiviti yang berfaedah seperti membaca buku, mengulang kaji pelajaran, dan
beriadah. Mereka juga menyediakan jadual aktiviti harian yang fleksibel agar
aktiviti yang mereka lakukan seimbang daripada aspek jasmani dan rohani.
Penyediaan jadual aktiviti harian amat penting bagi memastikan pelajar tidak
hanya menghabiskan masa selama 24 jam di meja belajar sahaja. Pelajar yang
cemerlang juga sentiasa berusaha menambah ilmu pengetahuan mereka dengan
membaca buku sekiranya mempunyai masa yang terluang. Hal ini demikian kerana,
mereka menyedari melalui pembacaan, mereka akan dapat meluaskan horizon
pemikiran mereka dan seterusnya menjadikan diri mereka seorang pelajar yang
cemerlang. Mereka juga sentiasa menyiapkan setiap tugasan yang diberi dan tidak
menangguhkannya. Mereka juga tidak mengamalkan sikap seperti pahat dengan penukul
dalam proses menuntut ilmu. Oleh hal yang demikian, jelaslah kepada kita semua
bahawa pelajar yang cemerlang sentiasa bijak dalam mengisi setiap saat dan
minit dalam kehidupan mereka agar tidak berakhir dengan penyesalan.
Di
samping itu, ciri pelajar yang cemerlang
termasuklah sentiasa memberikan tumpuan ketika guru sedang mengajar. Hal
ini demikian kerana, perhatian dan tumpuan yang diberikan menjadi salah satu
medium pembentukan pelajar yang cemerlang di samping meningkatkan pemahaman
mengenai subjek yang dipelajari. Sebagai contoh, seseorang pelajar haruslah
memberi sepenuh perhatian dan fokus ketika proses pengajaran dan pembelajaran
sedang dijalankan. Mereka harus menghargai setiap detik waktu dalam proses
tersebut kerana masa itu ibarat pedang, jika kita tidak memotongnya,maka ia akan
memotong kita. Tumpuan dan perhatian pelajar di dalam kelas sahaja
menjadi salah satu ciri pelajar cemerlang malahan dapat meningkatkan ilmu pengetahuan
mereka dalam sesuatu subjek yang dipelajari. Tambahan lagi, sekiranya mereka
menerapkan ciri yang berikut dalam diri mereka, mereka akan disenangi oleh para
guru. Para guru akan berasa senang hati ketika mengajar seterusnya memberi
keberkatan kepada pelajar tersebut untuk memperoleh kejayaan dalam pelajaran,
peperiksaan bahkan dalam kerjaya mereka pada masa akan datang. Oleh hal yang
demikian, jelaslah bahawa pelajar yang cemerlang sentiasa memberikan tumpuan
semasa guru sedang megajar di dalam kelas.
Bukan
itu sahaja, pelajar yang cemerlang juga
mempunyai wawasan hidup. Hal ini demikian kerana wawasan hidup diperlukan
supaya mereka sentiasa dapat mencapai segala cita-cita dalam hidup mereka.
Sebagai contoh, mereka yang cemerlang sentiasa mempunyai sasaran dalam
peperiksaan dan berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapainya. Selain itu,
wawasan hidup mampu mengajar mereka erti berdisiplin dan bertanggungjawab dalam
hidup berikutan mereka akan lebih teliti dan kreatif dalam menyusun masa
belajar dan melakukan aktiviti seharian. Wawasan hidup merupakan ciri dominan
pada diri pelajar cemerlang kerana apabila mereka berwawasan, mereka sentiasa
berusaha gigih kerana yang bulat tidak datang bergolek, yang pipih
tidak datang melayang. Pelajar yang mempunyai wawasan juga lebih
mengetahui hala tuju kehidupan serta tidak mudah berputus asa dalam kehidupan
mereka. Walaupun mereka mungkin menemui kegagalan dalam sesuatu perkara, mereka
tidak akan mudah bersedih malahan menjadikan kegagalan tersebut sebagai batu
loncatan untuk berusaha dengan lebih gigih pada masa hadapan. Wawasan
hidup juga mampu menjauhkan diri daripada sifat menangguhkan kerja dalam
kalangan pelajar cemerlang. Setiap pekerjaan haruslah dilakukan hingga selesai,
bak kata peribahasa, alang-alang menyeluk perkasam, biar sampai
ke pangkal lengan. Sifat negatif tersebut tidak akan lagi menjadi
penghalang kepada diri mereka dalam menempa kejayaan hidup. Oleh hal yang
demikian, jelaslah bahawa pelajar yang berwawasan merupakan pelajar yang
cemerlang.
Sementara
itu, untuk menjadi seorang pelajar yang
cemerlang, setiap pelajar hendaklah sentiasa aktif melibatkan diri dalam
aktiviti kokurikulum. Hal ini demikian kerana, melalui aktiviti kokurikulum
di sekolah, bakat dan kebolehan para pelajar akan terserlah dan dapat terus
digilap untuk mencapai kejayaan. Tamsilannya, para pelajar akan sentiasa
melibatkan diri dalam sebarang aktiviti yang diadakan oleh unit beruniform,
serta kelab dan persatuan seperti berkawad dan berkhemah. Dalam konteks ini,
para pelajar bukan sahaja dapat menyihatkan tubuh badan mereka malah turut
dapat mencerdaskan otak mereka kerana otak yang cerdas lahir daripada badan yang
cergas. Para pelajar juga haruslah menyertai sebarang pertandingan bagi
mengenal pasti potensi diri sama ada melalui unit beruniform mahupun akademik.
Contohnya, pelajar yang cemerlang akan menyertai pertandingan yang dapat
menguji minda serta pemikiran mereka seperti pertandingan perbahasan, forum dan
catur. Oleh hal yang demikian, setiap pelajar perlu bergiat aktif dalam
aktiviti kokurikulum untuk menjadi seorang pelajar yang cemerlang dan seimbang.
Intihnya,
kriteria-kriteria yang positif perlu ada dalam diri setiap pelajar bagi
melahirkan pelajar yang cemerlang dalam semua skop kehidupan. Pelajar yang
cemerlang mampu berfikir luar daripada kotak pemikiran dan seterusnya mampu
merealisasikan aspirasi negara. Hal ini demikan kerana, pelajar yang cemerlang
merupakan pemacu jentera negara dan akan menerajui tampuk pemerintahan negara
pada masa hadapan. Oleh itu, generasi pelajar yang cemerlang perlu dipupuk
sejak kecil lagi bak kata peribahasa Melayu, melentur buluh biarlah dari
rebungnya.
sangat panjang saye tidak sempat salin
ReplyDeleteterima kasih. sy ada tiru sikit. Maaf ye
ReplyDeleteterima kasih. sy ada tiru sikit. Maaf ye
ReplyDeleteTerima kasih atas perkongsian ilmu yang diberikan. =)
ReplyDeleteterima kasih atas karangan tersebut
ReplyDeleteterima kasih atas karangan tersebut
ReplyDeletetq/terima kasih atas karangan tersebut.
Deletesaya suka karangan ini karana sangat manarik untuk menbaca.
saya dapat mangetahui perkataan baru daripada karangan tersebut
Tq
ReplyDeleteSatu karangan Yang Bagus Dan ada sedikit kekurangan Dari segi tatabahasa . harap dapat diperbaiki .
ReplyDeleteSatu karangan Yang Bagus Dan ada sedikit kekurangan Dari segi tatabahasa . harap dapat diperbaiki .
ReplyDeleteSangat lah membantu
ReplyDelete