Monday 12 August 2013

CARA MEMUPUK SEMANGAT KEJIRANAN


CARA MEMUPUK SEMANGAT KEJIRANAN

            Dalam mendepani era modenisasi pada abad-21 kini, dunia menyaksikan iktisad negara membangun seperti cendawan tumbuh selepas hujan. Negara yang semakin pesat membangun seperti tenggelam sama basah, timbul sama hanyut seiringan dengan negara maju lain. Namun isu memupuk semangat kejiranan masih menjadi polemik dalam kalangan marhaen di Malaysia. Dari segi konsepnya semangat kejiranan boleh ditakrifkan sebagai suatu perasaan yang harus dipupuk oleh setiap masyarakat di Malaysia tanpa mengira warna kulit bangsa dan agama dalam usaha untuk mengukuhkan perpaduan kaum demi negara yang tercinta. Biasanya semangat kejiranan merangkumi semua lapisan masyarakat tidak kira muda ataupun tua yang perlu kita amalkan. Menurut Dato’ Dr. Fadzillah Kamsah jiran merupakan orang yang tinggal di sekeliling kita sama ada di depan, belakang, kiri , atau pun kanan dan merupakan orang pertama yang membantu kita disaat kita berada dalam kesusahan. Hal ini boleh dianalogikan seperti, awan yang melindungi bumi daripada cahaya matahari. Oleh itu, langkah yang signifikan harus diambil bagi menerapkan semangat kejiranan kepada semua lapisan masyarakat.
Sudah terang lagi bersuluh cara memupuk semangat kejiranan ialah ibu bapa perlu menjadi suri teladan kepada anak-anak. Hal ini kerana, jika ibu bapa menunjukkan teladan  yang baik kepada anak-anak maka mereka akan mencontohi teladan yang ditunjukkan. Sekiranya ibu bapa menunjukkan suri teladan yang buruk kepada anak-anak maka mereka akan menjadi anak-anak yang jahat malah lebih teruk lagi.  Sebagai contoh ibu bapa haruslah mengunjungi atau menziarahi jiran tetangga walaupun mereka berada dalam keadaan yang baik atau tidak. Selain itu, ibu bapa haruslah tidak sombong dengan jiran agar dapat memiupuk semangat kejiranan. Biasanya ibu bapa yang berfikiran terbuka dan luas akan  mendidik dan mengajar anak mereka dengan ilmu agama yang secukupnya supaya mereka menjadi jiran yang baik dan dapat merapatkan hubungan silaturahim antara jiran. Natijahnya, semangat kejiranan dapat dipupuk antara jiran dalam kalangan anak-anak dan ibu bapa sekaligus dapat mewujudkan masyrakat yang harmoni. Ibu bapa perlu menjadi suri teladan kepada anak-anak bertepatan dengan aforisme anak-anak ibarat kain putih , ibu bapa bertanggungjawab mencorakkannya. Hal ini boleh dianologikan seperti, anak burung yang baru belajar terbang daripada ibunya. Menurut Albert Einstein, agama tanpa amal adalah buta manakala amal tanpa agama adalah lumpuh. Oleh itu, ibu bapa perlulah memberi ajaran agama yang secukupnya dan  menjadi suri teladan kepada anak-anak supaya mereka dapat mencontohi dan menjadi jiran yang baik dan bertanggungjawab. Sekiranya cara memupuk semangat kejiranan dapat dipupuk oleh ibu bapa maka negara dapat melahirkan generasi yang bijaksana dan bekerjasama dalam mentadbir membangunkan negara ke  arah kemajuan  negara pada masa akan datang.
                Memetik wasitah nirmala seterusnya minhaj untuk memupuk semangat kejiranan dalam masyarakat setempat di Malaysia ialah kita perlu bertegur sapa dengan jiran kita yang lain. Hal ini demikian, kita akan dapat mengenali antara satu sama lain dan dapat mengeratkan hubungan silaturahim. Biasanya jiran yang berwawasan dan cemerlang mampu memupuk semangat kejiranan. Jiran yang berwawasan bertepatan dengan peribahasa bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat. Menurut Tun Dr. Mahathir, jiran yang muafakat akan membentuk masyarakat yang harmoni. Oleh itu, kita perlu bertegur sapa bagi melahirkan semangat kejiranan yang utuh dan bersatu padu.
                Dari sudut kodifikasi yang berbeza, prakarsa yang berkesan yang perlu dilakukan oleh kerajaan ialah mengadakan kempen kesedaran untuk memupuk semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat. Hal ini kerana, masyarakat pada hari ini terlalu mementingkan diri sendiri dan bodoh sombong Kempen mampu menyedarkan segenap lapisan marhaen di negara kita akan kepentingan semangat kejiranan.Amsalnya, Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri mengadakan jamuan Rumah Terbuka 1 Malaysia setiap kali tibanya Aidilfitri sebagai meraikan kepelbagaian bangsa dan agama di negara ini. Selain mempromosikan negara, rumah terbuka mampu mempererat hubungan pelbagai bangsa supaya lebih memahami dan mengenali budaya masyarakat berbilang . Hal ini kerana, tak kenal maka tak cinta dan jiran sepakat membawa berkat. Selain itu, komuniti Rukun Tetangga dan Skim Rondaan Sukarela  merupakan elemen terpenting dalam mempromosikan kempen supaya lebih segar dalam sanubari rakyat Malaysia. Sekiranya, kempen yang digerak kerangka mampu menjadi wadah semangat kejiranan maka rakyat Malaysia mampu menjadi bangsa kelas pertama di persada dunia.
Sebagai pengitlakkannya, isu semangat kejiranan masih menjadi polemik dalam kalangan marhaen di Malaysia. Semoga Malaysia menjadi sebuah negara yang mempunyai perpaduan yang utuh dan kukuh. Sememangnya negara kita tidak memiliki semangat kejiranan kerana masing-masing mementingkan diri sendiri dan tidak mengambil tahu tentang hal orang lain. Oleh itu, kita perlu memupuk semangat kejiranan  bermula daripada sekarang.  Golongan remaja seharusnya menyuburkan semangat kejiranan seperti burung jentayu yang patah sayap bertongkatkan paruh, patah paruh bertongkatkan dagu, patah dagu bertongkatkan kuku dalam menyuburkan semangat kejiranan. Sekiranya masyarakat berjaya mengamalkan semangat kejiranan maka negara Malaysia akan melahirkan generasi yang berdisiplin dan berhemah.
Petang hari memancing ikan,                                   
           Terlupa janji dengan Pak Musa;
Semangat kejiranan perlu diamalkan,
           Agar negara aman sentosa.

4 comments:

  1. boleh saya tahu maksud sebenarnya wasitah nirmala ??

    ReplyDelete
  2. Bombastik ayat yang digunakan.Syabas!And saya berpendapat,admin mungkin pelajar yang mendapat gred yang baik kot untuk bahasa melayu dia.Hahaha,kot.Terima Kasih Atas penghasilan karangan ini.Very Helpful.

    ReplyDelete
  3. Boleh anda jelaskan bagaimanakah anda boleh membuat karangan yang bombastik begini??

    ReplyDelete