Keharmonian
dalam rumah tangga dapat diwujudkan daripada sikap yang baik dalam kalangan
anak.
Bincangkan
sikap yang perlu ada pada anak-anak bagi melahirkan keluarga yang harmoni
Sebahagian daripada
kesempurnaan di dunia memiliki keluarga yang bahagia. Aforisme
tersebut menyedarkan kita tentang impian
semua insan di dunia ini untuk memiliki keluarga yang bahagia. Matlamat yang
terkandung dalam slogan “Rumahku Syurgaku” menjadi hasrat semua keluarga.
Mengimpikan sebuah keluarga yang bahagia dan harmoni memanglah lunak dan muluk,
namun tidak semudah seperti yang dihasratkan. Realitinya, banyak institusi
keluarga yang kecundang dan terbentur ditelan gelombang. Oleh itu, selain ibu
bapa, anak-anak turut berperanan untuk mewujudkan keharmonian dalam rumah
tangga. Oleh yang demikian, bagi
merealisasikan matlamat keluarga yang harmoni, anak-anak sebagai cahaya mata
ibu bapa haruslah bersikap positif dan turut memainkan peranan agar keluarga
yang dibina menjadi keluarga progresif, harmoni, dan sejahtera. Persoalannya,
apakah sikap positif yang dimaksudkan
itu?
Sikap yang paling prima ialah anak-anak hendaklah menjadi seorang insan
yang patuh pada agama dan taat kepada ibu bapa. Hal ini demikian kerana sikap
tersebut amat dituntut sama ada di sisi agama mahu pun budaya. Oleh itu,
jadilah anak-anak yang mampu berperann sebagai penawar hati dan pelunak
perasaan kepada ibu dan ayah. Hormati dan taatilah ibu bapa kerana kesejahteraan
dunia dan akhirat berdasarkan keberkatan ibu bapa. Apabila ibu bapa dipatuhi
manakala perintah Tuhan ditaati nescaya lahirlah insan sempurna sama ada peribadi
mahupun nurani . Cuba kita bayangkan; implikasi terhadap kebahagiaan sesebuah
keluarga sekiranya anak-anak tidak mentaati ibu bapa mahupun suruhan agama.
Sudah pasti kerukunan rumah tangga akan terjejas dan menjadi duri dalam daging
terhadap keharmonian komuniti. Justifikasinya , perwatakan tersebut menjadi resepi lengkap
untuk mewujudkan keharmonian dalam rumah tangga.
Lain daripada itu, anak-anak yang
baik adalah mulia budi perkerti dan
bermoral tinggi. Mengapakah dikatakan begitu? Hal ini disebabkan budi pekerti dan moral sentiasa menjadi
pakaian peribadi. Elok pekerti nescaya terserlah nilai insani. Sewajarnya,
anak-anak haruslah mencerminkan diri dengan akhlak dan sopan santun, persis
kata Imam al Ghazali, “hendak mengenal diri
lihatlah pada cermin, hendak mengenal peribadi bercerminlah pada wajah”.
Oleh itu, hiasilah diri dengan kelembutan hati dan kesederhanaan sikap sebagai
penyuluh pekerti kita. Sebagai tamsilan, hormatilah setiap ahli keluarga dengan
yang tua dihormati, manakala yang muda disayangi. Seandainya karekter seperti
ini kekal diperkasakan, maka akan
lahirlah keluarga yang harmoni,
ibarat di air yang bening terpancar bayang yang jernih. Tuntasnya, anak-anak
yang berperibadi mulia mampu menjadi penjana keluarga bahagia.
Bukan itu sahaja, sikap ringan tulang dan keletah yang ada pada
sesetengah anak merupakan kriteria yang amat baik untuk membentuk keluarga yang
harmoni. Tak tumbuh tak melata, tak sungguh orang tak kata! Anak-anak seperti
ini tidak pernah berkira sama ada tenaga mahupun penat lelah dalam memberi
khidmat kepada keluarga. Mereka mudah mesra dan cepat peka terhadap segala
kerenah dalam keluarga. Ketiadaan mereka di rumah amat dirasa oleh semua ahli
keluarga. Malahan ada ketika wujud salah faham apabila anak-anak seperti ini
dianggap anak emas pula. Sepatutnya inilah sikap yang wajar ditunjukkan oleh
anak-anak sebagai tanda membalas budi ibu bapa di samping mengikat hubungan
mawaddah dengan ahli keluarga yang lain. Sebagai uswah, anak-anak sepatutnya
membantu ibu bapa dalam melakukan kerja-kerja rutin di rmah. Sebagai anak, ingatlah akan kelahiran kita ke
dunia merupakan limpahan darah, peluh dan air mata seorang ibu. Dengan hal yang
demikian, balaslah ibu bapa dengan sikap ringan tulang demi merealisasikan
keluarga yang harmoni dan prihatin.
Seperkara lagi, resam hidup, patah tumbuh hilang berganti. Sampai waktu
ibu bapa akan berlalu pergi, justeru anak-anak pula yang mengambil giliran.
Memahami situasi hukum alam itu, anak-anak wajar bersedia untuk mengambil
tanggungjawab. Tanggungjawab seperti menjaga rumah tangga, menghubungkan
silaturahim dengan adik beradik dan menjaga maruah serta nama keluarga amatlah
dituntut oleh mana-mana masyarakat pun. Seandainya, nilai-nilai murni ini boleh
diperkasakan sudah pasti keharmonian dalam rumah tangga akan terbentuk.
Anak-anak seyogia perlu berpandangan jauh kerana segala sikap mereka menjadi
cermin kepada ibu bapa kerana mengenal batang (perdu) lihatlah pada daunnya.
Janganlah terjadi seperti segelintir anak-anak yang lupa diri ibarat buah
melayang jauh, tampuk dilupakan. Intihanya, sebagai anak yang baik bersedialah
untuk mengambil tanggungjawab untuk mengharmonikan keluarga.
Sikap bertolak ansur dan saling memahami yang menjadi sebahagian resepi
untuk melahirkan sebuah keluarga yang harmoni tidak boleh dikesampingkan. Oleh
hal yang demikian, anak-anak wujudkan
sikap saling bertoleransi supaya keluarga lebih aman dan tenteram. Daripada
sikap bertoleransi akan lahirlah perasaan saling menyayangi dan saling
menghargai antara satu sama lain. Tiada masalah salah faham dan salah anggap
kononnya ada yang lebih istimewa dan ada pula yang terpinggir. Sesama
adik-beradik terbentuklh jalinan hormat dan kasih ibarat isi dengan kuku.
Sebarang perbuatan yang boleh menyakiti darah daging sendiri tidak lebih
daripada cubit paha kiri, paha kanan pun
sakit juga. Ghalibnya, sebarang salah
faham pun, carilah jalan penyelesaian kerana perselisihan dalam kalangan
adik-beradik ibarat air dicencang tidak akan putus. Sudah terang lagikan
bersuluh, setiap ahli keluarga bertanggungjawab untuk menjaga dan memupuk
institusi yang tertua dalam sejarah manusia ini agar terus subur dengan sifat
kasih sayang.
Secara keseluruhannya, keluarga yang harmoni menjadi teras kepada
masyarakat yang dinamik. Sesungguhnya, sikap penyayang ibu bapa dan dan tingkah
laku yang positif anak-anak menjadi
wadah utama untuk membina keluarga yang harmoni. Oleh itu, sebagai anak,
berilah sumbangan yang terbaik agar keluarga memperoleh kebahagiaan. Janganlah
bersikap seperti kacang lupakan kulit. Ingatlah pada pesanan, “Keluarga bahagia
penjana kecemerlangan ummah”.
hi! i love you! i am homo
ReplyDelete